Pelakon Thailand, Mew Suppasit membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa meniru video muzik cover lagu I Like Me Better milik Lauv yang dinyanyikan semula oleh bintang K-Pop, Jaehyun NCT.

Menurut Mew, tidak terlintas langsung difikirannya untuk meniru apatah lagi melakukannya dengan sengaja.

"Maaf kerana menimbulkan rasa malu. Saya dengan tulus hati meminta maaf.

“Saya benar-benar rasa bersalah mengenai perkara ini. Saya tidak mahu kejadian seperti ini berulang lagi.

“Tujuan melakukan muzik video itu adalah untuk menyampaikan kepada peminat antarabangsa supaya dapat melihat keindahan negara kita.

“Bagaimapun sebaik sahaja mengetahui tentang hal berkenaan, pasukan kami terus mencari persamaan seperti yang didakwa,” jelasnya dalam sidang media khas yang berlangsung di Thailand semalam.

Mew telah hadir ke sidang media tersebut bersama penguamnya, Khun Nida.



Jelas Mew lagi, dia juga tidak mengetahui tentang persamaan dalam muzik video berkenaan dan baru menonton karya Jaehyun selepas berita itu menjadi bualan.

“Saya juga baru sahaja menonton karya Jaehyun setelah ia berlaku. Saya mohon maaf.

“Saya tidak sangka akan menimbulkan konflik... Saya benar-benar menyesal.

“Saya juga ingin meminta maaf dengan ikhlas terutamanya kepada peminat saya dan juga Jaehyun yang terluka dan tidak senang dengan insiden ini,” ujarnya.





Mew juga turut memohon maaf kepada Jaehyun.

“Saya ingin mengatakan bahawa saya benar-benar menyesal kerana secara tidak langsung telah melibatkan dia dalam hal ini.

“Saya dengan setulus hati, sekali lagi ingin memohon maaf kerana melibatkan namanya dalam insiden ini,” mohonnya.



Terdahulu, nama Mew menjadi topik hangat apabila didakwa memplagiat hasil muzik video lagu cover yang dinyanyikan oleh Jaehyun.

Disebabkan perkara itu juga, Mew atau Suppasit Jongcheveevat menjadi trending pertama di platform media sosial Twitter untuk beberapa buah negara.

Dia juga teruk dikecam sehingga menimbulkan konflik di antara peminatnya dan juga peminat anggota kumpulan NCT itu.

Bagaimanpun selepas membuat permohonan maaf, nama Mew sekali lagi menjadi trending di Twitter dengan tanda pagar #StayStrongWithMew.

Sebelum ini, pihak Mew Suppasit Studio (MSS) telah membuat permohonan maaf sebanyak tiga kali termasuk semalam.

Malah MV miliknya yang berjudul Afterglow itu juga sudah pun diturunkan dari akaun YouTube.

Sumber: brighttv.co.th / kompas.com

Foto: brighttv.co.th