Penyanyi Korea, Jay Park tampil membuat permohonan maaf selepas dikecam menyebut nama Allah dalam lirik lagu berjudul Mukbbang (Remix).

Menerusi posting terbaharu di akaun Twitter miliknya, Jay Park memberitahu lirik tersebut tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak apatah lagi mempersendakan agama.

“Lirik itu tidak pernah bermaksud untuk menyinggung perasaan atau rasa kurang menyenangkan mana-mana pihak.

“Bagi sesiapa yang merasakan seperti itu, saya minta maaf. Ada yang mula membuat dakwaan seperti isu agama dan rasis, berhentilah dengan perkara palsu seperti itu. Bagi saya ia hanyalah sebuah lirik,” coretnya.

Jay Park juga turut menjelaskan perkara berkenaan kepada peminat yang bertanyakan kepadanya.

“Semua orang tinggal di pelbagai negara dan mempunyai budaya serta bahasa yang berbeza. Setiap orang juga mengambil sesuatu dengan cara yang berbeza bergantung pada di mana anda membesar sebagai contoh ayat, simbol, yang segalanya mempunyai maksud.

“Tetapi bagi mereka yang tidak mengetahui tentang perkara itu, mereka hanya tahu ia adalah ayat sahaja.

“Tidak semua orang tahu segala-galanya dan sekiranya salah faham ini membuatkan ada yang membenci saya, tidak mengapa. Saya mohon maaf kepada mereka yang terasa hati dengan perkara ini.

“Saya minta maaf dengan sepenuh hati. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Saya sayangkan peminat muslim saya. Saya harap ia tidak mengubah persepsi kamu terhadap saya,” jelasnya.








Hari ini nama Jay Park tiba-tiba menjadi panas dan trending di Twitter selepas peminat K-Pop muslim mendapati bintang Korea itu menggunakan nama Allah di dalam lirik lagu iaitu “worship me like Allah” yang membawa maksud “sembah saya seperti Allah”.

Bukan sahaja dia didakwa tidak peka mengenai perkara itu malah liriknya juga dianggap boleh memesongkan akidah sekiranya diungkap oleh peminat Muslim.

Rata-rata peminat terutamanya yang beragama Islam meluahkan rasa marah dan kecewa dengan Jay Park yang dikatakan biadap selain tidak sensitif dengan hal berkenaan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU.