Pelakon Korea, Hong Soo Hyun dilaporkan bakal melangsungkan perkahwinannya bulan ini.

Menurut agensinya FN Entertainment, Soo Hyun bakal berkahwin dengan teman lelakinya yang bukan dalam kalangan selebriti.

"Memang benar Hong Soo Hyun bakal berkahwin dengan teman lelaki yang seusia dengannya sekitar pertengahan Mei ini.

"Bagaimanapun atas sebab peribadi, segala maklumat mengenai perkahwinan itu akan dirahsiakan. Disebabkan masih berdepan dengan COVID-19, majlis tersebut akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja," kata wakilnya.

Soo Hyun sebelum ini pernah membintangi beberapa drama hit Korea antaranya, Temptation of An Angel, Lie To Me, The Princess' Man dan Jang Ok-jung, Living by Love.

Dalam perkembangan terbaharu Soo Hyun merancang untuk menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri terbitan KBS2 berjudul Police Lessons.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari Gempak Chingu.