Agensi naungan LE SSERAFIM, HYBE mengumumkan telah menamatkan kontrak eksklusif bersama Kim Garam yang merupakan anggota kumpulan K-Pop tersebut.

HYBE dan Source Music memberikan kenyataan rasmi menerusi laman Weverse LE SSERAFIM hari ini.

“Kami ingin memberikan maklumat tentang keputusan yang dibuat berkenaan dengan ahli LE SSERAFIM, Kim Garam KIM dan juga perancangan untuk aktiviti masa depan LE SSERAFIM.

“Syarikat kami telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak eksklusif dengan Kim Garam.

“Kami ingin memohon maaf dengan setulus hati kepada peminat yang telah memberikan kasih sayang dan sokongan padu kepada kumpulan ini kerana menimbulkan kebimbangan terhadap kontroversi melibatkan anggota kumpulan ini.

“LE SSERAFIM akan meneruskan aktiviti mereka sebagai kumpulan dengan lima ahli. Terima kasih,” umumnya.

Terdahulu, Kim Garam didakwa pernah menjadi pembuli ketika zaman sekolah, bagaimanapun HYBE menafikan tuduhan tersebut.

Disebabkan spekulasi dan dakwaan ‘bukti’ yang disiarkan oleh individu yang mendakwa sebagai bekas rakan sekolah Kim Garam, ahli LE SSERAFIM itu direhatkan sementara daripada promosi hanya 3 minggu selepas penampilan sulungnya.