Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Kecoh Tersebar Gosip Son Ye Jin Minta Cerai Sebab Hyun Bin Kuat Berjudi

Maliah Surip
20/03/2023 14:50 MYT
Peminat hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan gosip liar mengatakan aktres Son Ye Jin meminta cerai dari suaminya, Hyun Bin kerana aktor tersebut kaki judi.

Gosip tersebut pertama kali didedahkan menerusi sebuah video pendek yang beredar baru-baru ini.

Menerusi video tersebut, pasangan selebriti itu didakwa akan bercerai pada April ini, lapor Koreaboo lagi.

“Hyun Bin telah kehilangan sekitar RM10.28 juta menerusi pelaburan dan kalah dalam banyak perjudian. Dia juga punya hutang judi yang banyak menyebabkan Son Ye Jin tidak tahan dan meminta cerai daripadanya,” begitu kenyataan di video tersebut berbunyi.

Dikatakan petikan video tersebut diambil dalam satu perbualan menerusi program
Tonight Show with Jimmy Fallon… dan kononnya disiarkan dalam Jimmy Kimmel Live!

Tidak mengambil masa yang lama, pihak agensi Hyun Bin, VAST Entertainment terus mengeluarkan kenyataan rasmi.

Mereka menafikan sekerasnya fitnah yang tidak munasabah itu.

“Pihak kami sentiasa mengawasi berita palsu dan oleh kerana ia tidak benar, kami sedang berbincang untuk menguruskan hal ini.

“Khabar tersebut adalah palsu dan tidak benar sama sekali. Kami juga sudah melakukan aduan mengenai video tersebut dan mahu ia diturunkan.

“Sekiranya hal ini masih berlarutan, pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil langkah seterusnya,” tulis kenyataan yang dikeluarkan VAST Entertainment.

Hyun Bin, 40, berkahwin dengan Son Ye Jin pada 2022 dan keduanya memaklumkan menimang cahaya mata pada Disember lalu.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU
#cerai #Artis Korea #Hyun Bin #Son Ye Jin #Spekulasi #Berjudi