Hajat peminat untuk melihat pelakon terkenal Korea, Kim Woo Bin dan kekasihnya, Shin Min Ah berlakon bersama dalam satu drama akhirnya tercapai.

Bagaimanapun dalam drama Korea terbaharu Netflix berjudul Our Blues ini, Woo Bin dan Min Ah bukanlah menjadi pasangan kekasih sebaliknya mereka berdua memiliki cerita yang berbeza.

Mungkin ada yang tidak tahu sebenarnya di Korea, kebarangkalian untuk melihat pasangan selebriti yang mempunyai ikatan percintaan berada dalam satu drama atau filem selepas mengumumkan hubungan mereka adalah sangat jarang berlaku.

Lebih-lebih lagi apabila melibatkan nama-nama bintang kelas A kerana selebriti di Korea amat mementingkan kehidupan privasi mereka.

Jadi sebaik sahaja Our Blues mengumumkan barisan pelakon ternama mereka, drama ini ternyata menarik perhatian netizen.

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana penulis skrip Noh Hee Kyung berjaya memujuk pasangan ini untuk berada di layar yang sama.

Berpeluang menghadiri sidang media Our Blues secara virtual baru-baru ini, #OhDaebak ada jawapannya.


“Saya merasakan jika saya cuba menawarkan mereka berlakon di mana jalan ceritanya memerlukan pasangan ini untuk bercinta antara satu sama lain, mereka akan menolak.

“Jadi saya bertanya kepada Woo Bin dan Min Ah, adakah mereka akan menerima tawaran sekiranya masing-masing mempunyai kisah cinta yang berbeza dengan pasangan lain dan mereka kemudiannya bersetuju.

“Saya mahukan mereka kerana kedua-duanya merupakan pelakon yang hebat. Saya juga tidak bimbang mengenainya kerana pasangan ini sangat profesional bila bekerja,” jelasnya.

Memulakan tayangannya Sabtu lalu, ternyata Our Blues berjaya mendapat tempat di hati netizen.

Lebih istimewa lagi, ini merupakan kemunculan semula Woo Bin dalam drama selepas enam tahun berehat disebabkan penyakit kansernya.

Drama terbitan tvN ini menampilkan ramai bintang A list iaitu Lee Byung Hun, Shin Min Ah, Cha Seung Won, Lee Jung Eun, Han Ji Min, Kim Woo Bin dan Uhm Jung Hwa.

Penulis skrip juga bukan calang-calang orangnya ya, antara karya terkenal Noh Hee Kyung adalah That Winter, The Wind Blows, It's Okay, It's Love dan Dear My Friends.

Saksikan Our Blues setiap Sabtu dan Ahad secara eksklusif, jam 9:10 malam hanya di Netflix.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

#OhDaebak merupakan kolum baharu dalam Gempak Chingu yang dikeluarkan setiap Ahad. Berkonsepkan santai, #OhDaebak akan berbicara apa sahaja tentang Korea termasuklah K-Pop, K-Drama, lifestyle, makanan atau topik-topik yang sering dibualkan K-fans. Come on! It’s spazzing time guys!