Edisi terhad hidangan kolaborasi McDonald’s bersama kumpulan K-Pop terkenal dunia BTS iaitu The BTS Meal sudah pun dilancarkan dan dijual di Indonesia.

Bagaimanapun disebabkan sambutan yang hangat, 20 cawangan McDonald’s di sekitar Jakarta ditutup sementara susulan insiden orang ramai menyerbu restoran makanan segera itu bagi mendapatkan menu promosi BTS Meal.

Nampaknya set hidangan yang dilengkapi dengan 10 keping McNugget, kentang goreng bersaiz sederhana, air minuman serta dua pilihan sos istimewa, sweet chili dan chajun ternyata membuatkan keadaan cawangan McDonald’s di negara berkenaan tidak lagi terkawal.

Selain 20 cawangan yang ditutup, 32 cawangan lain dipantau oleh anggota keselamatan serta 12 lagi diberikan amaran bertulis.

Namun jangan bimbang, cawangan yang diberikan amaran masih lagi boleh beroperasi dengan syarat tidak melanggar peraturan kesihatan selain diminta menutup fungsi pesanan pada aplikasi pesanan makanan online dan menghentikan sementara penjualan menu promosi BTS Meal.

Terdahulu, anggota keselamatan di Jakarta dikerahkan untuk meleraikan perhimpunan orang ramai termasuk pelanggan yang menyerbu untuk mendapatkan menu promosi BTS Meal.

Sumber: Kompas.com / Liputan6

Foto: food.detik.com