Bekas teman wanita Kim Seon Ho tampil dengan permohonan maaf selepas mendakwa pelakon itu memaksanya mengugurkan kandungan sebelum ini.

Menerusi hantarannya terbaharunya di Nate Pann, dia menyatakan rasa bersalah atas segala kerosakan atau impak yang berlaku selepas membuat pendedahan itu.

“Saya minta maaf kerana menyakiti ramai orang dengan catatan saya secara tidak sengaja.

“Pernah suatu ketika dahulu di mana saya dan Kim Seon Ho sangat mencintai antara satu sama lain.

“Jadi saya rasa tidak senang hati melihat dia jatuh dalam sekelip mata disebabkan posting melampau saya,” jelasnya.

Selain itu, wanita tersebut juga memaklumkan telah menerima permohonan maaf Seon Ho.

“Saya telah menerima permohonan maaf daripadanya. Saya rasa ada beberapa bahagian yang timbulnya salah faham antara kami.

“Saya harap kisah kami tidak lagi diperbesarkan. Harap tidak ada lagi kandungan palsu dan perincian mengenai hubungan kami yang akan disebarkan atau diterbitkan semula.

“Saya rasa terbeban dan susah hati kerana saya merasakan kejadian ini telah menyebabkan kesusahan pada ramai orang.

“Saya akan menurunkan posting ini tidak lama lagi,” katanya.

BACA: Kontroversi Paksa Bekas Teman Wanita Gugur Kandungan, Kim Seon Ho Mohon Maaf, Menyesal Sikap Tak Bertanggungjawab

Terdahulu, industri hiburan Korea dikejutkan dengan kontroversi melibatkan Kim Seon Ho iaitu pelakon utama drama popular yang baru sahaja melabuhkan tirainya, Hometown Cha-Cha-Cha.

Seorang individu A yang mendakwa dirinya bekas teman wanita Seon Ho mendedahkan aktor itu pernah memaksa dirinya menggugurkan kandungan.

Sebelum ini, wanita itu hanya memberi bayangan sebagai 'aktor K' namun selepas siaran itu tular, ramai yang membuat spekulasi bahawa pelakon dimaksudkan merujuk kepada Seon Ho.

Semalam, Seon Ho membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan kontroversi yang melanda dirinya.

Itu merupakan kenyataan pertama Seon Ho selepas tiga hari berita tersebut tersebar dan menjadi tular.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU