Anggota kumpulan K-Pop terkenal 2PM, Taecyeon tidak pasti sama ada hasrat untuk membuat kemunculan semula dapat ditunaikan tahun ini.

Menurut Taecyeon, 2PM dalam proses membuat persediaan namun disebabkan berlakunya pertindihan jadual, mereka terpaksa menyusunnya terlebih dahulu.

“Kami berlatih, tetapi tidak pasti sama ada ia akan berlaku tahun ini. Kami memang merancang sesuatu namun disebabkan berlaku banyak pertindihan jadual jadi saya rasa lebih penting untuk kami menyusunnya terlebih dahulu,” ujarnya.

Taecyeon berkongsi perkara itu menerusi temu bual bersama Single Magazine baru-baru ini.



Tambah Taecyeon lagi, persediaan pemilihan lagu untuk kemunculan semula 2PM juga bukanlah satu perkara mudah kerana mereka mahu memberikan hasil yang terbaik.

“Disebabkan kesemua ahli menulis muzik jadi setiap anggota mempunyai pandangan dan pemikiran yang berbeza.

“Tidak mudah untuk kami memutuskan jenis muzik yang bagaimana harus menjadi judul lagu atau arah mana yang harus kami tujui.

“Segalanya akan berjalan dengan lancar selepas lagu diputuskan namun kami masih belum berkesempatan untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Baru-baru ini, percubaan yang pertama juga telah gagal. Membuat kemunculan semula adalah sesuatu yang sangat dinantikan oleh kami tetapi saya rasa kita memerlukan lebih banyak masa,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Taecyeon muncul dengan drama baharu berjudul Vincenzo.

Selain Taecyeon, Vincenzo juga turut dibintangi oleh Song Joong Ki.



BACA: Bakal Buat Kemunculan Semula, 2PM Hanya Tunggu Kepulangan Junho!

Sebelum ini, 2PM memaklumkan berita gembira mengenai kemunculan semula mereka menerusi akaun Twitter rasmi sekitar Januari lalu.

Mereka memberitahu akan kembali aktif selepas kepulangan anggota kumpulan terakhir mereka iaitu Junho yang masih menjalani latihan khidmat ketenteraan.

2PM yang dianggotai oleh Nickhun, Taecyeon, Wooyoung, Junho, Chansung dan Jun. K ini ditubuhkan pada 4 September 2008.

Antara lagu-lagu popular adalah Again & Again, Heartbeat, I'll Be Back dan Hands Up.

Untuk pengetahuan, 2PM berehat sebentar dari industri sejak tahun 2016 berikutan komitmen masing-masing terhadap latihan khidmat ketenteraan.

Kini hampir kesemua anggota 2PM telah bersama dan mereka hanya menunggu kepulangan Junho yang dijadualkan tamat latihan ketenteraannya pada 20 Mac depan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU.

Sumber: Soompi / Koreaboo

Foto: Single Magazine