Pencipta dan pengarah siri megahit Squid Game, Hwang Dong Hyuk mendedahkan bahawa drama berkenaan akan mempunyai musim kedua.

Dong Hyuk mendedahkan perkara itu sewaktu sidang media dan sesi soal jawab bersama Associated Press di Los Angeles baru-baru ini.

Walaupun tidak mendedahkan sepenuhnya, Dong Hyuk memberitahu Squid Game 2 kini dalam perancangan.

“Kami menerima begitu banyak tekanan permintaan dan juga respon positif yang rata-ratanya menyukai sekiranya ada musim kedua.

“Jadi saya merasakan anda seolah-olah tidak memberikan kami pilihan. Apa yang saya boleh katakan, ya, akan ada musim kedua.

“Dalam kepala saya sekarang… Saya membuat perancangan untuk itu. Tetapi saya rasa masih terlalu awal untuk menberitahu bagaimana ia akan berlaku.

“Jadi apa yang boleh saya janjikan, Ki Hoon akan kembali dan dia akan melakukan sesuatu,” jelasnya.

Sebelum ini terdapat perbincangan mengenai musim kedua namun ini adalah kali pertama pengarah Squid Game mengesahkan secara rasmi mengenai penerbitan siri kedua.

Terdahulu, Squid Game berjaya menambat peminat di seluruh dunia sebaik sahaja ditayangkan di Netflix pada September tahun ini.

Squid Game mengekalkan kedudukan nombor satu dalam 10 teratas Netflix di banyak buah negara dengan berjuta-juta tontonan seluruh dunia.

Fenomena drama Korea itu juga menyebabkan ramai penonton mencuba permainan dalam Squid Game antaranya Dalgona di mana mereka perlu 'mengukir' bentuk tertentu pada gula-gula keras itu.

Selain Dalgona, permainan Red Light Green Light juga amat popular termasuklah bait lagunya iaitu Mugunghwa Kkoci Pieot Seumnida.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU