Semua | All

10 Tahun Tanpa Yasmin Ahmad

gempak
Gempak Spot
25/07/2019
06:54 MYT
Sponsor Banner
10 Tahun Tanpa Yasmin Ahmad
Hari ini, 25 Julai 2019, genap 10 tahun pemergian Yasmin Ahmad. Saya mahu menulis sesuatu untuk mengenang arwah, tetapi fikiran saya tersekat, tidak tahu mahu mula dari mana.
Sejak beberapa jam lalu, saya asyik memasang lagu keroncong Hujan yang dipetik dari filem Mukhsin dan kebetulan hujan baru saja berhenti.
“Hujan itu macam cinta. Satu rahmat,” kata Yasmin suatu pagi ketika saya singgah di pejabatnya.
Hari itu, kami ada temu janji makan tengah hari, tetapi saya tiba awal. Ketika saya menunggu di sofa empuk hijaunya dan mengadu lapar, dia memainkan lagu yang dinyanyikan Adibah Noor itu berulang-ulang kali.
“Awak suka yang ini atau versi Mak Inom dengan Pak Atan? Diorang tu ‘gila’ kan? Saya nak jadi macam diorang bila tua esok. Tak pernah berenggang. Awak nak dengar bunyi Pak Atan gelak tak?,” tanya Yasmin sambil memasang rakaman suara bapanya ketawa. Rakaman itu dia jadikan nada dering telefon bimbitnya.
“Saya ‘burn’ lagu ni dalam CD. Nanti awak balik dengar dengan buah hati,” sambungnya lagi tentang lagu Hujan sambil matanya khusyuk mengadap komputer.
Yasmin adalah insan yang amat mempercayai cinta dan kita semua sedia maklum tentang itu. Sentimennya terhadap kasih sayang diterjemahkan jelas menerusi karya-karyanya, baik di dalam filem mahupun iklan.
“Cinta tak jahat. Bekas kekasih awak yang jahat”. Saya masih ingat SMS ini yang dihantarnya semasa saya mengadu putus cinta.
“Ramai lagi sayangkan awak. Jangan sedih. Dia pun manusia macam awak, ada buat silap. Maafkan dia. Solat dan minta tolong pada Allah. I’ll make do’a for you too, ok?”, sambung SMSnya.
Sedikit sejarah, saya mengenali arwah pada awal tahun 2005 ketika saya menjadi pemberita di akhbar Kosmo!. Ketika itu, filem Sepet baru hendak ditayangkan di pawagam. Saya selalu menjadi tetamu (yang diundang dan yang tak diundang) di pejabatnya selepas pertemuan pertama kami.
“Cantik kasut,” itu antara ayat kegemaran arwah setiap kali kami berjumpa. Dan setiap kali itu juga, saya selalu memerhatikan sikapnya di pejabat. Sentiasa riang, bergurau senda dengan rakan-rakan sekerja tanpa mengira pangkat, walaupun kepada kakak pembancuh teh dan tukang cuci.
Malah, pemandu peribadinya yang bernama Anuar juga dia jadikan bintang filem. (Anuar memegang watak Anuar, pemandu kepada keluarga Orked dalam Gubra dan Mukhsin – ingat tak babak Anuar menyanyi lagu Nina Simone, Ne Me Quitte Pas?)
Saya percaya, setiap dari kita yang pernah bertemu dengan Yasmin secara peribadi akan bersetuju betapa dia mudah mesra dengan sesiapa.
Dan saya juga percaya, setiap dari kita yang tidak pernah bertemu dengannya pun, akan terasa ‘akrab’ hanya dengan menonton hasil-hasil kerjanya.
Saya masih ingat pada hari pengkebumiannya, tanah perkuburan Islam USJ22 di Subang Jaya dibanjiri lautan manusia. Sejak dari masjid lagi ketika jenazah diuruskan, sudah ramai yang tiba memberikan penghormatan terakhir. Melayu, Cina, India dan pelbagai bangsa serta agama datang ke situ, bertafakur dan berdoa.
Saya percaya ada di antara mereka tidak pernah bertemu pun dengan Yasmin, tetapi kerana ‘mengenali’ Yasmin, mereka datang. Malah ramai juga yang membawa bunga tuber roses, bunga kegemarannya yang pernah digunakan dalam satu babak filem Sepet.
Yasmin, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.25 malam di Hospital Pakar Damansara pada 25 Julai 2009 akibat pendarahan teruk di otak. Dia rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, tiga hari sebelum itu.
Hari ini, 25 Julai 2019, genap 10 tahun pemergian Yasmin Ahmad. Saya mahu menulis sesuatu untuk mengenang arwah, tetapi saya tahu sudah banyak memori yang ditulis tentangnya sejak dia tiada, tidak kurang juga penghargaan sebagai tanda ingatan yang diberikan kepadanya.
Saya percaya, kita semua atau sekurang-kurangnya untuk saya, masih teringat-ingatkan dia dan amat merinduinya. Semoga roh arwah tenang di sana. Al-Fatihah.
Syazwan Zakariah pernah bergelar wartawan di akhbar Kosmo!, pemberita di Astro Awani dan kini menyandang jawatan Ketua Content Studio di Astro.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024