Horror | Seram
#GempakSpot: "Aku Nampak Susuk Tubuh Hitam Bertenggek Di Atas Pokok Jambu Di Halaman Rumah Opah"
Kisah ini dihantar oleh Anis untuk peraduan GempakSpot X Althea. Lima artikel terpilih akan disiarkan setiap hari mulai Isnin hingga Jumaat. Atikel yang mendapat paling banyak 'Likes' dan 'Shares' di Facebook Astro Gempak akan memenangi produk Althea bernilai RM185 dan pemenang akan diumumkan di Instagram dan Facebook Astro Gempak.
"Aku Anis, berumur 16 tahun dan menetap di Terengganu. Ini kisah seram aku semasa aku dan Keluarga pulang ke kampung.
Aku dan keluarga telah merancang untuk pulang ke kampung halaman pada hujung minggu ini, hajat kami untuk bertolak pada waktu petang tetapi Abang Ngah pulang dari kerja agak lewat sedikit masa tu dan kami terpaksa bertolak pada jam 8 malam.
Perjalanan dari Kajang agak lancar, tidak ada apa-apa kejadian yang pelik berlaku semasa berada di Highway LPT2 walaupun sebelum ini aku ada mendengar cerita-cerita seram orang yang melalui jalan tersebut.
Kami sampai ke kampung agak lewat kerana kerap berhenti di Hentian Rehat. Waktu itulah aku mengalami peristiwa yang menyeramkan. Semasa sampai dirumah Opah, aku ternampak ada satu susuk tubuh hitam bertenggek di atas pokok jambu di halaman rumah Opah. Susuk tersebut besar dan sangat hitam. Aku terus memandang ke arah lain.
Opah sudah menunggu kehadiran kami didepan pintu rumah. Semasa turun dari kereta, Abah sempat menyuruh kami semua basuh kaki dan membaca doa sebelum masuk ke rumah.
Aku dan Acik tidur di dalam bilik Opah manakala Abang Ngah dan Ucu tidur di ruang tamu. Abah dan Ibu tidur di bilik tidur mereka.
Ketika aku hendak tidur, aku terdengar bunyi cakaran dari tepi dinding bilik (rumah Opah masih lagi rumah kayu). Aku goncang bahu Acik tapi Acik tidur mati. Aku tengok Opah tiada didalam bilik, mungkin tidur bilik satu lagi? Aku tarik selimut sampai menutup kepala aku.
Secara tiba-tiba tingkap bilik aku diketuk sebanyak tiga kali dan ada suara halus mengilai dan menyuruh aku membuka tingkap.
"Bukaaa... Aku nak masuuk.."
Perasaan aku ketika itu amat takut, habis berpeluh satu badan! Habis semua doa aku baca sampaikan doa makan pun aku bantai.
Terperanjat aku apabila Abah melaungkan Azan dengan kuat dan suara tu perlahan-lahan hilang. Abah mengetuk pintu bilik aku dan aku meluru ke pintu bilik. Abah kata dia ada dengar bunyi cakaran di sekeliling rumah dan juga suara sesuatu mengilai sebab itu Abah melaungkan Azan. Masa tu jam menunjukkan pukul 3:37 pagi!
Jadi, itulah kisah seram Aku semasa sampai di rumah Opah.
Kredit Gambar: Google
Nota: Gambar utama hanyalah gambar hiasan semata-mata.
Kisah ini dikongsi oleh Anis untuk peraduan GempakSpot X Althea. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyertai peraduan GempakSpot X Althea, hantarkan karya anda sekarang sebelum tarikh tutup peraduan pada 25 Oktober 2020 ke GempakSpot
Must-Watch Video