Perkongsian ini dikongsi oleh doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menggunakan akaun Twitter @dr_chaku tentang penyakit Kayap Ular yang mungkin selalu didengar tetapi ramai yang tidak tahu mengenainya.

"Doktor, betul ke kalau kena KAYAP ULAR, kalau dia bersambung keliling badan, nanti boleh mati?"

Pernah dengar tak pernyataan ni? Betul ke tidak pernyataan ni? Sebelum itu, kita lihat dahulu kayap ni penyakit apa sebenarnya.

Kayap (herpes zoster) ini adalah penyakit yang disebabkan jangkitan Varicella Zoster Virus(VSV), iaitu virus yang sama yang menyebabkan chicken pox(cacar air). Kayap ni, adalah penyakit susulan daripada chicken pox.

"Macam mana tu, doktor?"

Apabila seseorang dijangkiti VSV, maka dia akan mendapat simptom yang kita panggil chicken pox. Kemudian selepas chicken pox itu pulih, virus ni tak mati. Ia akan duduk diam-diam di dalam akar saraf. Ia akan aktif semua jika sistem imun individu menurun.

"Kenapa ada orang panggil sakit ni kayap ular?"

Oleh kerana virus ni duduk dalam akar saraf, apabila dia aktif semula, ia akan menjangkit saraf berkenaan disepanjang laluan (dermatome) saraf tu.

Mula-mula pesakit akan rasa pedih dan membakar di sepanjang jalur saraf tu, kemudian naik lepuhan-lepuhan berair di situ.

Jalur saraf ni memanjang, jika di bahagian badan, ia sepanjang tulang rusuk. Biasanya di sebelah bahagian badan sahaja.

Memandangkan ruam dan lepuhan ni muncul pada jalur yang panjang, ia mirip ular yang melingkar. Selain di badan, ia boleh kena pada leher, muka, dan bahagian lain.

"Kayap ni boleh melingkar sekeliling badan tak? Kalau boleh, betul ke akan mati?

Jarang kayap ni melingkar sekeliling badan, tapi tak mustahil. Jika ia berlaku lazimnya kerana pertahanan imun tubuh pesakit itu telah terlalu rendah. Jangkitan kayap yang teruk boleh menyebabkan beberapa komplikasi. Antaranya:

- Postherpetic neuralgia: iaitu kesakitan pada jalur saraf, walaupun ruam sudah tiada. Ada pesakit yang masih rasa sakit walaupun sudah berbulan-bulan.

- Buta & Pekak: Jika terkena pada saraf muka, muka boleh lumpuh. Jika di mata, boleh buta. Jika di telinga, boleh pekak.

- Radang otak dan selaput otak: ia jarang berlaku, tetapi jika ia berlaku, ia sesuatu yang amat serius. Jika tak rawat, sebabkan kematian.

Pendek kata, penyakit kayap ni boleh menyebabkan kematian tetapi ia disebabkan oleh komplikasi yang serius ekoran imuniti rendah, bukan kerana ia melingkar di keliling badan.

"Apa rawatan kayap ni, doktor?"

Walaupun ada pesakit yang boleh pulih sendiri tanpa rawatan, doktor biasanya akan beri ubat antiviral, salap(sapuan), ubat tahan sakit untuk mengurangkan ketidakselesaan pesakit, dan memendek kan tempoh pemulihan.

Kredit Gambar: Twitter @dr_chaku

Kisah ini dikongsi oleh seorang doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menggunakan akaun Twitter @dr_chaku dan mendapat lebih 8,000 Retweet serta lebih 8,000 Likes. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.

Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.