Personal Opinion | Pendapat Peribadi
#GempakSpot: "Darah Kami Sama Merah, Tiada Bezanya Walau Berlainan Agama" - Kisah Seorang Cikgu Ini Harap Dapat Buka Mata
Bidayuh - itu origin saya. Bidayuh merupakah salah satu daripada 37 etnik di Sarawak. Nama penuh saya, Ester Nyarung. Tapi saya lebih dikenali dalam kalangan kawan-kawan dengan panggilan ‘mumi’. Saya juga bertugas sebagai seorang guru.
Di bulan Ramadan yang mulia untuk umat Islam ini, saya ingin bercerita kisah keluarga saya. Kalau ianya mungkin boleh dijadikan tauladan, ambillah sebagai tauladan dan sebaliknya. Memandangkan banyak cerita-cerita negatif dan isu-isu yang tidak sepatutnya berlaku semakin banyak di media sosial, saya ingin kongsikan cerita saya.
Saya anak sulung daripada tiga orang adik beradik. Semuanya telah mempunyai keluarga sendiri. Yang menariknya tentang keluarga saya, adik saya yang bongsu telah berkahwin dengan seorang yang beragama Islam dengan menggunakan nama Siti Nurrita Abdullah (nama asal Cenderita). Kini, beliau telah mempunyai dua orang cahaya mata, Siti Nadhirah dan Affi Azizi.
Saya sendiri mempunyai tiga orang anak lelaki. Yang sulung dan kedua telah berkahwin dengan wanita Islam. Terdahulu, dalam tahun 1970an, emak saudara saya juga telah berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam.
Apa yang ingin saya ceritakan ialah keharmonian dalam keluarga saya mesti pun kami berlainan agama.
Sebagai contoh, ketika perayaan Gawai dan sambutan Krismas, adik-beradik saya bersama anak-anak saya akan berkumpul di kampung. Sambutannya meriah seperti perayaan-perayaan lain. Mereka sama-sama menyambut dengan bertukar hadiah tetapi tidaklah hingga melanggar batas agama yang dianuti.
Bila Hari Raya pula, kami akan berkumpul di rumah keluarga kami yang yang beragama Islam. Kami berhari raya bersama-sama. Seperti sekarang, di bulan Ramadan, kami akan berkumpul terutama pada hujung minggu untuk bersungkey (berbuka) bersama-sama. Darah kami sama merah, tidak ada bezanya walaupun berlainan agama.
Apa yang ingin saya tegaskan, tiada bezanya kami hidup dalam satu keluarga walaupun berlainan agama dan kepercayaan. Yang penting, kami saling hormat-menghormati, tahu batas-batas agama masing-masing dan sikap toleransi sesama kami.
Mungkin harapan saya terlalu tinggi, tetapi saya begitu berharap bahawa kita semua mampu menghormati antara satu sama lain dalam negara yang mempunyai berbilang keturunan dan anutan.
Akhir kata dari saya, selamat menyambut bulan Ramadan kepada keluarga dan rakan-rakan yang beragama Islam, serta selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Saya juga tidak sabar untuk meraikannya bersama ahli keluarga saya yang beragama Islam.
Kredit Gambar: Ester Syarung
Kisah ini dikongsi oleh Ester 'Mumi' Syarung. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Must-Watch Video