Personal Experience | Pengalaman Sendiri
#GempakSpot: Dia antara Cikgu Yang Garang, Tetapi Dialah Yang Menjadikan Aku 'Orang'. Selamat Jalan, Cikgu"
Kisah ini ditulis oleh Badrul Hashim, seorang bekas pelajar Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur tentang guru disiplinnya yang telah pergi mengadap Penciptanya.
Aku tahu ramai yang pelajar Sekolah Alam Shah mengingati Cikgu Abdul Rahman Bin Atin atau lebih mesra dipanggil ARBA. Dua hari lalu aku mendapat pengkhabaran dia jemput Illahi.
Innalillahiwainnalillahirojiun.
Berita tersebut mengembalikan kenangan aku ke zaman persekolahan. Ketika Sekolah Alam Shah (SAS) masih lagi terletak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Seorang budak dari kampung yang sepenuh masa belajar di kampung dari kecil, datang ke bandar untuk bersekolah di sekolah asrama penuh.
Menakutkan. Itulah kali pertama aku berjauhan dengan keluarga.
ARBA bukan sebarang guru. Dia juga adalah guru disiplin ketika aku belajar di SAS (1981 - 1985). Garangnya memang menakutkan, tetapi bukan garang yang tidak bertempat. Dia mahu kami semua jadi manusia yang berguna.
Segala tenaganya dicurahkan kepada 'anak-anaknya' di SAS. Dia mahu kami semua jadi manusia yang berguna. Dia mahu lihat anak-anak Melayu bangkit dan menjaga disiplin serta maruah keluarga.
Berjauhan daripada keluarga, tugas menjaga disiplin kami semua diambil daripada tanggungjawab seorang ayah. Tidak ada pilih kasih. Anak-anak muridnya disayang sama rata, dimarah sama rata, dididik sama rata.
Dia adalah tulang belakang kejayaan ramai anak-anak murid yang berasal dari Sekolah Alam Shah. Dia tidak mengeluh biarpun ada yang terlebih nakal melakukan perbuatan yang melanggar disiplin. Tugasnya adalah memastikan undang-undang sekolah dipatuhi. Tegas, tapi penyayang.
Mungkin aku tidak banyak masalah dengan Allahyarham kerana aku budak yang penakut ketika di sekolah. Tetapi setiap kali aku terserempak dengannya, dada aku akan berdebar kencang, peluh mengalir di dahi. Itulah ARBA yang bukan menakutkan, tetapi lebih kepada mengingatkan aku supaya tidak melakukan kesalahan yang boleh menjatuhkan nama baik sekolah, apatah lagi nama baik keluarga.
Kini dia dijemput Illahi. Selamat berehat cikgu ARBA. Semoga Allah menempatkanmu bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga segala didikanmu kepada kami akan terus mengalirkan pahala kepadamu dengan izin-Nya.
Terima kasih atas segala didikanmu kepada kami semua. Terima kasih kerana memastikan kami terus keluar dan menjaga nama baik sekolah dan nama baik keluarga. Terima kasih atas segala ilmu dan nasihat.
Al- Fatihah
Chita Usaha Jaya
Kredit Gambar: Facebook Alumni Sekolah Alam Shah (Official)
Perkongsian ini ditulis oleh Badrul Hashim. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot
Must-Watch Video