Education | Pendidikan
#GempakSpot: "Kudis Buta Berjangkit Dengan Sentuhan Atau Berkongsi Alatan Dengan Mereka Yang Dijangkiti"
Kisah ini dikongsi oleh seorang Pakar Pediatrik, Dr Ana menggunakan akaun Twitter @anayasminazmi tentang penyakit kudis buta yang boleh berjangkit dalam keluarga dan mereka yang terdekat, serta cara rawatan dan mengatasinya.
Semasa saya buat kerja sukarelawan (ni sebelum fasa covid) di salah sebuah kampung, nampak sekumpulan kanak-kanak sedang bermain.
Saya terpandang tangan seorang kanak-kanak ni dia tergaru-garu. Kemudian dia pegang permainan dan rakan-rakan lain turut bermain bersama.
Saya mendekati, “adik, boleh saya tengok sikit tangan?”
Dia tunjuk pada saya.
"Oh, teruk ni. Nampak adik garu-garu, gatalkan?
Dia angguk.
"Cuba buka luas jari-jari saya nak tengok celah jari."
Semua penuh bintik-bintik ruam kudis buta.
"Mak adik ada dirumah?"
Dia angguk lagi.
Saya pun bertemu ibunya. Saya jelaskan pada ibunya itu kudis buta.
Seperti dijangka si ibu dan ahli keluarga lain turut ada jangkitan sama. Teruk berkudis semuanya.
Saya terangkan sikit pada mereka. Syukur keluarga ini sangat baik mendengar dan mereka mahu tahu bagaimana nak rawat sebab mereka sampai tak boleh tidur malam.
Kudis buta ni berjangkit dengan sentuhan atau berkongsi alatan dengan mereka yang telah dijangkiti.
Mungkin seseorang dalam keluarga ni dah dapat, dan ia merebak disebabkan oleh hama yang hidup di bawah kulit.
Bila kita pegang benda lain, hama itu tertinggal disitu. Kemudian individu lain pula pegang, maka ia merebak.
Nak rawat, kena bunuh hama bawah kulit kita. Dengan ubat anti-kudis buta untuk kanak-kanak kita panggil 'permethrin'. Kena sapu seluruh badan, biar semalaman.
Tak cukup dengan tu saja, kita perlu cabut cadar, sarung bantal, basuh dalam air panas, jemur tilam, jemur permaidani, bersihkan seluruh rumah.
Baru rawatan berjaya.
Memang leceh, tapi perlu buat. Kudis buta ni sangat tak selesa dan bila garu kulit jadi luka, kuman boleh masuk dan sebabkan jangkitan yang lebih buruk.
Haa, gambar (utama) tulah rupa hama scabies yang merayap bawah kulit.
Kredit Gambar: Twitter @anayasminazmi
Kisah ini dikongsi oleh seorang Pakar Pediatrik, Dr Ana menggunakan akaun Twitter @anayasminazmi dan mendapat hampir 7,000 Retweet serta lebih 8,000 Likes. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.
Must-Watch Video