Education | Pendidikan
#GempakSpot: Pegang Ular Macam Pegang Rantai!
Melihat perwatakannya yang lemah lembut serta penampilannya yang sopan, mungkin tidak sangka gadis ini sebenarnya mempunyai minat yang sangat eksotik!
Tahap eksotiknya, anda mungkin boleh lihat sendiri gambar-gambarnya di bawah.
Paling mengagumkan, gadis ini menyimpan sebanyak 26 jenis ular dan beberapa lagi haiwan eksotik yang lain di belakang rumahnya. Paling seram tentunya ular tedung selar!
MINAT ULAR TEDUNG SELAR SEPANJANG EMPAT METER
Hanya mahu dikenali sebagai Dewi, gadis berusia 22 tahun ini mula berjinak dengan komuniti haiwan eksotik sejak berusia 17 tahun.
Bermula hanya sekadar hobi untuk mengisi masa lapang, ia kemudian menjadi serius apabila jumlah haiwan yang diperliharanya semakin bertambah. Ada yang ditangkap sendiri, ada juga yang diberikan oleh individu tertentu. Semua haiwan ditempatkan di belakang rumahnya.
Antara haiwan yang diperlihara adalah iguana, musang, landak mini, burung, arnab dan tarantula. Itu tidak termasuk koleksi ularnya. Jika dikira secara rawak, Dewi kini mempunyai kira-kira 40 haiwan pelbagai jenis.
Spesis paling besar dalam simpanannya adalah ular tedung selar berukuran empat meter!
PERNAH DIPATUK
Apabila bercerita mengenai ular, pastinya ramai bertanya adakah gadis ini pernah dipatuk ular?
Menurut Dewi, seperti individu lain, dia juga tidak terlepas daripada dipatuk ular. Namun, sebagai pencinta haiwan itu bukanlah alasan untuk dia menyerah kalah.
“Saya banyakkan buat kajian dan belajar petua daripada orang-orang lama. Selain minat, ilmu juga penting kerana bukan senang untuk menjaga kesemua haiwan ini. Masing-masing ada cara penjagaannya tersendiri,” katanya.
TULAR AKIBAT BIAWAK KENIT
Bagi anda yang terlepas pandang, gadis berasal daripada Kuala Kangsar, Perak ini sebenarnya mula tular di media sosial berikutan sekeping gambar yang memaparkan dia sedang mendukung seekor biawak.
Seperti biasa gambar terbabit menerima pelbagai reaksi dan kecaman daripada netizen. Ada yang menganggapnya sengaja tunjuk hebat dan tidak kurang juga yang kagum dengan keberanian gadis ini.
Bagaimanapun, Dewi menyatakan biawak yang diberi nama sebagai Kenit itu sebenarnya ditemui selepas tercedera berhampiran kawasan sungai rumahnya pada Julai tahun lalu.
Dewi kemudian membawa Kenit ke rumahnya untuk dirawat sebelum dibebaskan pada bulan lalu. Jadi, kepada anda yang mengutuk tindakan Dewi memeluk biawak ini, fikirlah sekali lagi.
Untuk makluman, Dewi juga adalah seorang jururawat. Oleh itu, ia sedikit sebanyak membantu Dewi dalam aspek penjagaan kesihatan dan kebersihan.
Tambahnya, dia tidak mempunyai tujuan lain hanya ingin memberi imej positif dalam mendidik masyarakat terutama golongan muda untuk cintakan haiwan.
“Saya mahu dedahkan pada masyarakat dengan dunia eksotik ini supaya mereka tidak menyiksa haiwan,” katanya.
Anda boleh follow akaun Instagram Dewi jika mahu melihat banyak lagi gambar.
Kredit Gambar: Instagram @dewi_zulaikhaa
Kisah ini ditulis oleh Hanafis Haris.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Must-Watch Video