Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#GimmeTheMicMY: Suara Serak Jadi Keunikan, Syamel Amzah Enggan Dibayangi Penyanyi Lain – “Dari Sekolah Orang Panggil Saya Suara Orang Tua"

Gempak
22/07/2024 11:55 MYT
Peserta Syamel Amzah yang menduduki posisi teratas dalam Gimme The Mic Malaysia minggu pertama meluahkan rasa syukur dengan pencapaian tersebut.

Gugup Atas Pentas

Bercakap kepada Gempak, Syamel akui dia sedikit gugup dan gemuruh ketika membuat persembahan namun berjaya memberikan persembahan terbaik.

“Pertama sekali tahniah kepada semua tetapi saya rasa ia rezeki saya, saya rasa juri-juri percaya kepada kebolehan saya. Alhamdulillah saya dapat markah yang tinggi.

“Sebenarnya saya memang gugup dan gementar tapi saya percaya dengan apa yang cikgu ajar selama kami jalani latihan.

“Dengan semangat kawan-kawan, bila berada di atas pentas Alhamdulillah saya buat sehabis baik sebab saya fokus,” katanya.

Syamel ditemui usai konsert minggu pertama Gimme The Mic yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Tertekan Ekspektasi Juri

Meraih markah tertinggi iaitu 67.14%, Syamel turut berasa tertekan apabila bakal mendendangkan lagu Kekasih Bayangan nyanyian Cakra Khan pada minggu kedua.

“Tentunya saya tertekan, dengan markah tertinggi ini juri akan melihat adakah saya akan konsisten di atas sekali atau sebaliknya.

“Saya juga ada mengikuti kelas vokal, kawan-kawan lain juga banyak ajar saya dari segi vokal dan nyanyian.

“Jadi saya agak gemuruh dan takut,” ujarnya.

Tak Tiru Sesiapa

Dalam pada itu, Syamel juga mahu membuktikan dia tidak meniru mana-mana penyanyi lain dengan keunikan suaranya itu.

“Orang mengenali saya dengan karakter suara yang serak, automatik orang akan cakap saya seperti Cakra Khan, Lefthanded dan sebagainya.

“Saya memilih lagu ini kerana saya mahu tunjuk ini bukan saya meniru sesiapa tetapi inilah Syamel Amzah,” ujarnya.

Miliki Suara Unik

Mengulas mengenai keunikan suara yang dimilikinya, Syamel berkongsi dia memiliki suara tersebut sejak dari kecil lagi.

“Suara ini memang dari kecil, dari sekolah rendah dan orang gelarkan saya orang tua dahulu.

“Kerana suara saya begini dan sehinggalah sekarang suara saya begini,” tutupnya.

Dengan tema Tik & Tok, minggu pertama Gimme The Mic Malaysia menyaksikan Syamel Amzah dengan nyanyian To Love Somebody berjaya mengungguli kesemua 30 peserta dengan markah 67.1%.

‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ dibarisi panel juri yang pernah menggegarkan industri muzik tanah air serta antarabangsa.

Bangku juri bakal dihiasi oleh penyanyi dan komposer yang berbakat seperti Ajai, Yuna, Bunga Citra Lestari dan Hael Husaini.

Program ini turut memperkenalkan gandingan Sherry Alhadad dan Sean Lee sebagai hos, serta Ceddy Ang dan Daniel Cheang sebagai hos Live+.

‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur selama lapan (8) minggu bermula 21 Julai 2024, pada setiap hari Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.

Juara serta peserta di kedudukan enam teratas ‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ akan mara ke peringkat antarabangsa mewakili Malaysia untuk berentap dengan juara-juara ‘Gimme The Mic’ dari negara-negara lain.

Juara ‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, beserta $2,000 USD (dua ribu dolar AS) daripada TikTok, dan penerbitan sebuah album single tajaan Astro & Rocketfuel.

Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun TikTok, Instagram, Facebook, X dan Astro Gempak dengan menggunakan tanda pagar #GimmeTheMicMY

ARTIKEL BERKAITAN: #GimmeTheMicMY: Semua Peserta All Out! Yuna Akui Tertekan, Bunga Citra Lestari Stres… Ini Komen-Komen Juri Pada Minggu Pertama

ARTIKEL BERKAITAN: #GimmeTheMicMY: Syamel Amzah Teratas, 10 Peserta Tersingkir… Jom Semak Markah Penuh Minggu Pertama Semua Peserta

#Gimme The Mic #Gimme The Mic Malaysia #Syamel Amzah #Gimme The Mic Songs #Gimme The Mic TikTok
;