Anugerah Industri Muzik 24 (AIM24) akan meraikan malam kemuncaknya di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 13 September 2025.
Tentu sahaja selain sejumlah 30 kategori secara keseluruhan termasuk empat kategori terbaharu iaitu ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Kolaborasi Artis TempatanBersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik’ serta ‘Kugiran Terbaik’ menjadi tumpuan, peminat juga mahu melihat penampilan karyawan seni di AIM24 membuat persembahan dan menyampaikan anugerah.
Advertisement
Menerusi sidang media yang berlangsung di Hotel Premiera, penganjur mengumumkan barisan Artis yang bakal membuat persembahan, penyampai anugerah dan dua hos yang akan mengemudi acara yang bakal ditayangkan di TV2 (RTM).
Dengan bangganya, penganjur mengumumkan kolaborasi artis rentas negara iaitu dari Malaysia, Indonesia dan Thailand yang akan menghangatkan AIM24.
Didahului oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pentas AIM24 juga akan dihangatkan oleh persembahan Dolla bersama penyanyi Thailand, Tobii.


Ade Govinda pula diterbangkan dari Indonesia untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri. Anggi Marito akan berkongsi pentas dengan barisan artis hebat tanah air seperti Exists, Black Hanafiah, Ara Johari, kugiran Masdo, K.O.I, Salammuzik, Shila Amzah, KymKmo dan Intan Maya. Persembahan mereka akan dikepalai oleh Pengarah Muzik, Dato Acis.

Sementara Daiyan Trisha, Mus dan Joe Barbarik, Khai Bahar, Nikki Palikat, Hafiz Hamidun, Asmidar, Ajai dan Datuk Nora Ariffin antara penyampai anugerah AIM24 yang akan dikendalikan oleh Sherry Al-Hadad dan Alif Satar.