Pelakon, Ezzanie Jasny tampil memberi peringatan kepada pengikutnya selepas mendakwa terdapat beberapa akaun palsu menyambar sebagai dirinya di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Ezzanie mendedahkan akaun terbabit telah menggunakan gambar peribadinya termasuk foto ahli keluarga tanpa kebenaran.
Lebih membimbangkan individu tersebut menyebarkan maklumat palsu berkaitan isu agama.
“Ada banyak akaun palsu yang menyamar sebagai saya dan menggunakan gambar peribadi saya serta ahli keluarga tanpa kebenaran.
“Akaun-akaun ini turut menyebarkan kenyataan palsu berkaitan agama dan terlibat dalam sesi siaran langsung, forum serta komen yang langsung tidak mencerminkan diri saya,” tulisnya.
Dalam pada itu, Ezzanie juga mendedahkan wujud ancaman terhadap keselamatan keluarganya.
“Keadaan menjadi semakin serius apabila terdapat ancaman dibuat terhadap keluarga saya, termasuk mesej ugutan yang dihantar secara langsung kepada adik perempuan saya.
“Perkongsian ini adalah penjelasan rasmi dan juga amaran. Sebarang bentuk penyamaran, fitnah, gangguan, ugutan atau penyalahgunaan identiti saya selepas ini akan direkodkan dan diambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.
Tambah pelakon Impiana: Karma itu lagi, tujuan dia bersuara bukan untuk mencetuskan kontroversi sebaliknya demi melindungi keselamatan diri dan ahli keluarganya.
Ezzanie turut berharap orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan akaun palsu yang cuba mencemarkan nama baiknya.
“Perkongsian ini bukan untuk mencipta drama, tetapi untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi keluarga saya.
“Jika anda melihat akaun-akaun ini memberi komen, menyertai siaran langsung atau mengeluarkan kenyataan yang tidak sesuai atau menyinggung perasaan, ketahuilah itu bukan saya,” katanya lagi.
Berikut perkongsian penuh Ezzanie Jasny: