Sekilas
- Cik Epal berharap keputusan mahkamah mengenai hak penjagaan anaknya bersama bekas suami, Jofliam, dihormati dan urusan selepas ini berjalan lancar.
- Dia menegaskan fokus utama adalah kebajikan dan masa depan dua anak mereka, Han dan Yuki, tanpa sebarang drama atau pertikaian.
- Jofliam pula bersyukur kerana mahkamah memutuskan hak penjagaan diberikan kepadanya dan kes komital terhadapnya telah digugurkan.
Pempengaruh media sosial, Cik Epal berharap keputusan mahkamah berhubung hak penjagaan dua anaknya bersama bekas suami, Jofliam dapat dihormati dan segala urusan selepas ini berjalan dengan baik.
Menerusi perkongsian di Threads, Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud berkata, dia tidak mahu lagi berdepan dengan sebarang drama atau pergaduhan.
Baginya, perkara paling penting ketika ini adalah kebajikan dan masa depan dua anak mereka, Han dan Yuki.
“Mulai sekarang, aku harap keputusan ini dihormati dan segala urusan berkaitan Han & Yuki dapat dijalankan dengan jelas, matang dan bertanggungjawab.
“Aku tidak mahu lagi sebarang pertikaian, permainan emosi atau urusan yang tidak perlu. Apa yang penting sekarang ialah kebajikan dan masa depan Han & Yuki. Jangan lupa pergi bawa Han sunat,” tulisnya.
Terdahulu, Jofliam meluahkan rasa syukur selepas mahkamah memutuskan hak penjagaan Han dan Yuki diberikan kepadanya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Jofliam turut memaklumkan bahawa mahkamah telah menggugurkan kes komital terhadapnya.
Sumber: Instagram