Penyanyi, Daniel Sher akui penyertaannya dalam program realiti nyanyian Big Stage Alpha menjadi titik penentu dalam perjalanan kerjayanya sebagai anak seni selepas sekian lama mencuba nasib dalam industri muzik tempatan.
Menurut Daniel, sekiranya dia gagal terpilih untuk menyertai pertandingan berkenaan, kemungkinan besar Big Stage Alpha akan menjadi pertandingan terakhir buat dirinya sebagai penyanyi.
“Kalau saya tak dapat masuk Big Stage Alpha, pertandingan itu mungkin pertandingan terakhir untuk saya. Saya dah fikir untuk hanya berada di belakang tabir tapi saya bersyukur kerana rezeki berpihak kepada saya untuk dapat sertai Big Stage,” katanya kepada Gempak.
Walaupun berdepan tempoh yang panjang dalam membina nama dalam arena muzik tanah air, Daniel menegaskan bahawa dia tidak pernah mengenal erti putus asa.
“Dalam hidup saya tiada istilah putus asa meskipun lama saya mencuba dalam industri. Bagi saya, kalau saya tidak menyanyi, saya masih akan lakukan sesuatu dalam bidang muzik. Yang penting saya buat perkara yang saya suka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Daniel turut meluahkan rasa terharu terhadap sokongan luar biasa yang diterima daripada peminat Alpha iaitu Alphanites yang sanggup hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menghantar mereka berlepas ke Korea untuk menjalani latihan intensif di sana.
Tambah Daniel, sepanjang penglibatannya dalam industri seni, dia tidak pernah menerima sokongan sebegitu besar daripada peminat sekali gus menjadikan pengalaman tersebut sesuatu yang amat bermakna dalam hidupnya.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Alphanites (peminat) yang sanggup datang ke KLIA tempoh hari dan hantar kami ke Korea. Benda tu memang sangat-sangat buat saya tersentuh.
“Saya pun sebenarnya dah lama dalam industri dan sebelum ini kalau ada mana-mana show dekat luar pun saya tak pernah merasai pengalaman sebegitu jadi bila mereka hadir dan tunjukkan sokongan itu saya rasa sangat terharu dan saya hargai mereka sangat-sangat.
“Bagi saya ini adalah hadiah terbaik untuk saya tahun ini,” tambahnya.
Saksikan perjalanan latihan intensif kumpulan Alpha di Korea menerusi Alpha Dreams Unlock: Seoul Chapter.
Alpha Dreams Unlock: Seoul Chapter bersiaran setiap Selasa jam 11 malam di saluran Astro Ria.