Selepas lima bulan dibentuk sebagai kumpulan, hari ini Alpha diterbangkan ke Korea Selatan bagi mengikuti latihan intensif selama hampir sebulan.
Menurut salah seorang anggota kumpulan tersebut, Ariel Fesol, peluang ini dianggap sebagai satu pencapaian besar buat mereka selepas berbulan-bulan bekerja keras sejak penubuhan kumpulan itu.
“Alhamdulillah, kami Alpha sangat gembira dan bangga dengan pencapaian yang kami dapat sekarang.
“Akhirnya, impian kami untuk mengikuti latihan intensif sudah tiba masanya. Diharapkan agar segalanya dipermudahkan di sana dan terima kasih untuk semua Alphanites yang datang hari ini untuk hantar kami ke Korea,” kata Ariel.
Sementara itu, Ray-D juga berharap latihan di Korea akan membantu meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai aspek termasuk tarian dan vokal.
“Apa yang kita mahukan semestinya kita nak meningkatkan skill tarian, kemampuan suara dan sebagainya. Jadi kami harap latihan di sana sedikit sebanyak dapat menambah baik lagi kemampuan kami sebagai satu kumpulan,” tambah Ray-D.

Alpha dianggotai oleh tujuh ahli kumpulan yang terdiri daripada Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Ray-D, Araff dan Sky.
Lebih menarik hampir 200 orang peminat berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 untuk mengiringi keberangkatan kumpulan tersebut ke Korea.
Kelab peminat yang dikenali sebagai Alphanites difahamkan sudah berkumpul di lapangan terbang lebih kurang jam 3.30 pagi. 
