Skip to main content

Hiburan

Angel Dolla Hormati Keputusan MV ‘Question’ Diturunkan Tapi…

Angel Dolla

Ahli kumpulan Dolla, Angel meluahkan rasa sedih dan terkejut selepas mendapat tahu muzik video terbaharu kumpulan itu berjudul Question terpaksa diturunkan daripada semua platform digital susulan kontroversi yang tercetus.

Menurut Angel, perkara itu agak sedih baginya bila mengenang segala usaha yang telah diletakkan oleh seluruh produksi dan ahli kumpulan lain iaitu Tabby dan Sabronzo.

“Sebenarnya saya agak terkejut apabila dengar berita itu sebab saya sekarang pun saya berada di luar. 

“Sedih sebenarnya sebab kita dah letakkan banyak usaha untuk menjayakan setiap projek yang kami lakukan. Kami sangat sukakan konsep dan lagu tersebut jadi sedih la sebab ia perlu dibawa turun,” katanya ketika ditemui Gempak. 

Bagaimanapun, Angel dan ahli kumpulan lain tetap menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan melihatnya sebagai ruang untuk lebih berwaspada pada masa depan.

“Kami sangat hormati dengan keputusan tersebut dan akan lebih peka dengan isu ini,” ujarnya. 

Terdahulu, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata. 

Susulan itu, pendakwah selebriti, Asma' Harun turut memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik terbabit tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam. 

Universal Music Malaysia mengambil langkah menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla daripada semua platform digital susulan kritikan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan itu yang didakwa terlalu mencolok mata. 

Langkah itu turut dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai isu pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan sedia ada. 

Must-Watch Video

Advertisement