Sekilas
- Azira Shafinaz akan menyambut Aidilfitri secara sederhana bersama keluarga terdekat di Kuala Lumpur selepas kehilangan nenek kandung yang menjadi tunjang kekuatan keluarga.
- Walaupun suasana raya berubah, tradisi memasak Rendang Dendeng resipi turun-temurun nenek tetap diteruskan sebagai pengubat rindu.
- Azira juga bakal muncul dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang akan ditayangkan di pawagam mulai 7 Mei 2026.
Kehilangan insan tersayang dalam keluarga ternyata memberi kesan besar terhadap kemeriahan sambutan Aidilfitri buat pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz apabila rutin tradisi mereka kini berubah sepenuhnya.
Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 34, mengakui sambutan hari raya tahun ini bakal disambut secara sederhana bersama keluarga terdekat sahaja di ibu kota.
Menurut anggota kumpulan De Fam ini, tahun ini merupakan tahun kedua keluarganya menyambut lebaran tanpa kehadiran nenek kandung tercinta yang sebelum ini menjadi tunjang kekuatan setiap kali tibanya Syawal.
“Tahun ini Azira raya dengan keluarga sahaja. Kalau dulu, setiap tahun kami akan berkumpul ramai-ramai di rumah arwah nenek di Keramat atau Taman Permata (TPJ). Memang setiap tahun kami di Kuala Lumpur.
“Tapi sejak ketiadaan arwah, masing-masing saudara-mara kini beraya di rumah sendiri. Rutin itu sudah bertukar dan berubah. Jadi, ini bakal menjadi tahun kedua saya hanya beraya di rumah bersama emak dan ayah sahaja,” katanya kepada Gempak.
Tambah Azira, suasana hiba semakin terasa memandangkan dia kini sudah kehilangan kesemua nenda tersayang termasuk nenek angkat.
“Semua nenek Azira memang sudah tiada. Nenek angkat yang tinggal dengan saya dulu sudah meninggal dunia pada 2018, manakala nenek kandung (emak kepada emak) pula baru pergi dua tahun lepas akibat sakit tua. Sebab itu sekarang kami cuma raya sendiri sahaja,” ujarnya.
Bercerita mengenai persiapan, Azira berkata dia kini sibuk membantu ibunya menyediakan kuih raya di rumah memandangkan ibunya menjalankan perniagaan biskut cornflakes setiap tahun.
Meskipun kelibat insan tersayang sudah tiada, Azira berkata hidangan tradisi tetap diteruskan sebagai pengubat rindu.
“Satu makanan wajib setiap tahun ialah Rendang Dendeng. Rendang ini adalah resipi turun-temurun daripada arwah nenek yang kami kekalkan sehingga sekarang.
“Bagi persiapan lain seperti baju raya, saya tidak fikir sangat. Beli sahaja apa yang ada kerana jadual bulan ini sangat padat dengan penggambaran drama,” jelasnya lagi.
Menerusi perkembangan lain, Azira bakal tampil dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.
Selain Azira, filem arahan Razaisyam Rashid itu bakal menampilkan gandingan pelakon popular seperti Bront Palarae, Aedy Ashraf, Zul Ariffin, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.
TARUNG: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti ialah orang terdekatnya satu ketika dahulu.