Pelakon, Qasrina Karim akui komen negatif yang diterimanya sewaktu membawakan watak sebagai Husniya Radwa dalam drama popular Thariq Ridzuwan: His Treasure memberi impak terhadap prestasi lakonannya.
Menurut Qasrina, tekanan mula dirasai pada peringkat awal penggambaran apabila komen-komen kritikan daripada netizen mula membanjiri media sosial.
Advertisement
“Masa awal awal… Betul ada memberikan sedikit impak, saya rasa sebelum bermulanya penggambaran pun sudah rasa tekanan itu.
“Mungkin itu juga merupakan salah satu sebab pada awal episod saya masih belum jumpa rentak Radwa lagi kerana terlalu mendengar kritikan netizen,” ujarnya.
Qasrina berkata demikian ketika ditemui selepas majlis watch party Thariq Ridzuwan: His Teeasure bersama peminat bertempat di Eunoia Event Hall, Cyberjaya pada Rabu.
Tambah Qasrina lagi, tekanan tersebut membuatkan dirinya terlalu memikirkan pandangan orang ramai sehingga menjejaskan fokus serta mutu lakonannya.
“Saya terlalu tertekan fikir apa orang akan cakap, terlalu ‘overthink’ sampai saya rasa ia benar-benar memberi kesan kepada saya dan juga lakonan.
“Tetapi pengarah iaitu Kak Ira dan Meerqeen banyak memberikan nasihat dan kata-kata semangat supaya saya dapat ‘overcome’ benda itu.
“Malah kak Ira juga memberi nasihat pada saya untuk berhenti membaca komen komen di media sosial kerana ia menjejaskan prestasi saya di set,”katanya.
Ketika ditanya mengenai kritikan yang diterima, Qasrina mendedahkan dia terpaksa menyekat beberapa akaun di media sosial kerana tidak tahan dengan komen-komen negatif, terutamanya yang menjurus kepada serangan peribadi.
“Banyak akaun yang saya block di media sosial sebab kata kata itu sangat memberikan kesan kepada saya.
“Banyak komen yang terlalu menyakitkan. Ada yang kritik bukan pada lakonan, tetapi pada fizikal saya. Ada yang kata saya hanya dipilih membawa watak Radwa kerana penampilan.
“Sebab saya pendek dan ada lesung pipit, sesuai dengan karakter dalam novel itu. Mereka kata saya tak layak berdasarkan bakat,” luahnya.
Bagaimanapun, kata Qasrina, pelakon juga merupakan manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan, mustahil jika tidak terkesan dengan kata-kata kasar seperti itu.
“Saya juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan, kita bukan robot. Lakonan pun adalah kerja yang meminjam rasa dan bermain dengan perasaan.
“Jadi bagaimana saya mahu masuk set dengan perasaan yang pelbagai, dengan beban emosi dari luar yang negatif, ia sangat mengganggu. Jadi sebab itu, saya ambil keputusan untuk sekat komen,” jelasnya.
Namun begitu, setelah drama ini semakin hampir ke penghujung, Qasrina bersyukur apabila penonton mula menerima lakonannya dan memahami karakter Radwa dengan lebih baik.
“Alhamdulillah, mungkin sebelum ini orang melihat daripada luaran sahaja, tetapi bila cerita dah makin sampai ke klimaks, orang mula faham dan terima watak Radwa serta lakonan saya.
“Saya rasa sangat puas hati. Saya percaya, walaupun ada yang tak suka pada awalnya, tapi bila dah menonton sepenuhnya, mereka dapat lihat usaha kami semua dalam menjayakan drama ini,” ujarnya.
Selain Qasrina, Thariq Ridzuwan: His Treasure juga menampilkan Meerqeen selaku watak utama, Averitts Gomez, Noki K-Clique, Mia Sara Shauki dan ramai lagi.