Sekilas
- Alicia Amin menolak tawaran lakonan aksi jika bayaran tidak setimpal dengan persiapan dan risiko kecederaan yang tinggi.
- Pelakon berusia 31 tahun itu menekankan pentingnya bajet yang baik, keselamatan terjamin, dan jalan cerita yang masuk akal sebelum menerima projek aksi.
- Filem terbaharunya, Chelot, yang mengangkat isu sindiket penyeludupan senjata api, akan ditayangkan di pawagam mulai 27 Ogos ini.
Pelakon dan model Alicia Amin tidak teragak-agak untuk menolak tawaran lakonan, terutama naskhah bergenre aksi jika bayaran yang ditawarkan tidak setimpal dengan persiapan serta komitmen yang perlu diberikan.
Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin, 31, berkata, genre aksi memerlukan persediaan rapi dan mengambil tempoh yang panjang, selain mempunyai risiko kecederaan ketika menjalani babak mencabar.
Menurutnya, faktor usia juga membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih projek yang memerlukan komitmen fizikal tinggi.
“Saya suka filem aksi tetapi terima atau tidak, semuanya bergantung kepada pampasan dan bayaran untuk sesebuah naskhah, sama ada sepadan dengan usaha yang diberikan pelakon.
“Saya tak akan buat sebarang filem aksi secara melulu kalau bajet tidak bagus. Sebab saya bukanlah muda sangat, sudah masuk usia 30-an yang akan ada risiko kecederaan dan banyak perkara kena dipertimbangkan.
“Jadi selagi bajet bagus, keselamatan terjamin, diet terjaga dan jalan cerita masuk akal, saya akan buat,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Chelot, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Alicia menegaskan pendiriannya itu bukan bermaksud dia seorang pelakon yang terlalu memilih atau cerewet.
Sebaliknya, jelasnya, filem aksi memerlukan seseorang pelakon menjalani latihan intensif selama berbulan-bulan, malah ada yang mengambil masa sehingga setahun sebelum penggambaran bermula.
“Saya bukan tak suka genre aksi tetapi kalau beri bajet kecil namun jangka saya berlatih selama tiga bulan yang ambil masa lama, pihak produksi kena beri bayaran yang berbaloi untuk tempoh tersebut.
“Pernah juga saya tolak beberapa tawaran atas pelbagai sebab. Tidak guna kalau kita buat kerja tapi emosi dan tak gembira di set penggambaran disebabkan bayaran.
“Kalau buat sesi foto satu dua hari pun dah rasa penat, apatah lagi kalau projek panjang yang makan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan, akan jadi beban,” ujarnya.
Menurut Alicia, prinsip tersebut bukan hanya digunakannya dalam bidang lakonan, sebaliknya turut terpakai untuk setiap pekerjaan yang dilakukan termasuk dunia fesyen.
“Logik ini terpakai untuk semua kerja termasuk fesyen. Takkanlah saya nak hadap perasaan tak gembira selama 30 hari, tidak berbaloi.
“Perlu ada elemen minat dan komitmen dalam setiap perkara yang kita buat tetapi fokus utama saya selalunya pada skrip yang bagus, tak kisah aksi atau drama.
“Saya masih teringin nak buat filem komedi romantik tetapi masih belum ada rezeki lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, filem Chelot lakonan Alicia bersama barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar dan Shaheizy Sam bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 Ogos ini.
Menerusi naskhah arahan Adrian Teh itu, Alicia membawa watak Zahra dalam kisah yang mengangkat isu sindiket haram penyeludupan senjata api.