Sekilas
- Daniel Sher dari kumpulan ALPHA jelaskan peranannya sebagai ketua yang tidak semestinya paling banyak bercakap dalam temu bual, sebaliknya memberi ruang kepada ahli lain untuk bersuara.
- Mereka berbincang dan sedia hala tuju sebelum sesi temu bual tanpa skrip, memastikan setiap ahli faham objektif dan yakin menyampaikan pandangan.
- Daniel akui tegas dalam tugas untuk melindungi ahli kumpulan dan sentiasa buat penilaian semula selepas setiap persembahan atau acara bagi penambahbaikan.
Ahli kumpulan ALPHA, Daniel Sher tampil memberikan penjelasan mengenai peranannya sebagai ketua kumpulan selepas menerima pelbagai maklum balas daripada peminat mengenai dinamik ALPHA ketika sesi temu bual dan podcast.
Menerusi hantaran di Threads, Daniel berkata dia sentiasa membaca setiap pandangan yang diberikan peminat dan percaya segala teguran dibuat demi kebaikan kumpulan.
Menurutnya, ramai yang mempunyai tanggapan seorang ketua perlu menjadi individu yang paling banyak bercakap, namun dia mempunyai pandangan yang berbeza.
"Saya membaca maklum balas daripada peminat dan saya percaya semuanya demi kebaikan ALPHA. Kami menyebarkan kebaikan, bukan kebencian.
"Ramai beranggapan seorang ketua perlu menjadi orang yang paling banyak bercakap. Tetapi bagi saya, kepimpinan bukan hanya tentang itu,” katanya.
Daniel menjelaskan, dia tidak perlu menjawab setiap soalan ketika temu bual kerana ada soalan yang lebih sesuai dijawab oleh ahli lain.
Katanya, pendekatan itu memberi peluang kepada setiap anggota menyerlahkan personaliti, kreativiti dan cara pemikiran masing-masing.
"Ada soalan yang lebih sesuai dijawab oleh ahli lain. Dengan cara itu, semua orang berpeluang bercakap, mengekspresikan diri dan menunjukkan personaliti masing-masing.
"Tanggungjawab saya adalah mengingatkan pasukan bahawa bukan semua soalan perlu dijawab oleh orang yang sama. Setiap soalan mampu menyerlahkan kelebihan yang berbeza dalam diri setiap ahli,” ujarnya.
Tambah Daniel, sebelum setiap sesi temu bual, dia bersama ahli ALPHA dan pengurusan akan berbincang mengenai hala tuju perbualan.
Bagaimanapun, mereka tidak pernah menyediakan skrip jawapan, sebaliknya hanya memastikan semua ahli memahami objektif dan yakin untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
"Ia bukan tentang mencuri perhatian. Ia tentang memberi ruang kepada semua ahli untuk menyumbang dan didengari.
"Bagi saya, bukan soal siapa yang mendapat perhatian paling banyak, tetapi bagaimana setiap ahli membina keyakinan dan belajar menyampaikan idea sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, Daniel mengakui ada situasi yang memerlukan dirinya mengambil peranan sebagai ketua, apatah lagi dia selesa berkomunikasi dalam empat bahasa.
Namun, dia menegaskan setiap kali mana-mana ahli bercakap kepada media, mereka membawa nama ALPHA sebagai satu kumpulan, bukannya mewakili diri sendiri.
Daniel turut mendedahkan ALPHA sentiasa mengadakan sesi penilaian semula setiap kali selesai membuat persembahan, menghadiri acara atau menjalani temu bual bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Malah, dia tidak menafikan dirinya seorang yang tegas ketika menjalankan tugas, namun sifat itu hadir kerana dia mahu melindungi ahli-ahli kumpulannya.
"Ya, saya tegas dan serius apabila melibatkan tanggungjawab. Tetapi jangan lupa, saya juga sangat melindungi 'adik-beradik' saya.
"Saya sayangkan ALPHA dan juga semua ALPHANITES. Semoga kita semua terus berkembang, mencipta lebih banyak kejayaan dan mendominasi bersama-sama." katanya.
Sumber - Threads