Pereka fesyen, Rizman Ruzaini, enggan memberi sebarang komen berhubung isu yang mengaitkan mereka sebagai individu berhutang dengan pelakon Datin Intan Najuwa.
Salah seorang pengasasnya, Rizman Nordin berkata, mereka tidak pasti kepada siapa isu itu ditujukan dan memilih untuk tidak membuat sebarang kenyataan lanjut.
Advertisement
“Kami tidak tahu kepada siapa isu itu ditujukan. Jadi, sampai sekarang, kami masih tiada komen atas kontroversi yang tercetus.
“Bagi saya, lumrah apabila satu jenama yang sudah bertapak selama 20 tahun menjadi sebutan dan orang akan berteka-teki disebabkan berlaku satu isu.
“Kalau bukan nama kami yang disebut, saya tidak mahu komen apa-apa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik terbaharu Rizman Ruzaini di KLCC, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Mengulas sama ada kontroversi tersebut memberi kesan terhadap perniagaan mereka, Rizman menjelaskan tiada perubahan ketara dan pelanggan masih kekal menyokong jenama itu.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada perbezaan. Pelanggan kami sangat kukuh dan setia dengan jenama ini. Untuk kami sendiri, apa yang kami lakukan hanyalah fokus kepada bisnes.
“Sebab pada akhirnya nanti, untuk membina sebuah empayar fesyen yang boleh dijadikan contoh, bukanlah sesuatu yang mudah. Usaha ini datang dengan tanggungjawab besar dan perlukan komitmen penuh,” katanya.
Terdahulu, Intan Najuwa, 28, meluahkan rasa kecewa apabila individu dipercayai seorang pereka terkenal gagal melunaskan pinjaman wang seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bertulis.
Menurutnya, individu tersebut pada awalnya merayu bantuan kewangan dengan pelbagai janji manis, namun mula mengelak apabila tiba masa untuk membayar semula hutang itu.
Susulan kenyataan itu, nama jenama fesyen Rizman Ruzaini mula dikaitkan oleh netizen sebagai pihak yang dimaksudkan oleh pelakon berkenaan.