Sekilas
- Pelakon Qi Razali dijangka menimang cahaya mata sulung penghujung Januari ini dan sudah membuat persediaan lengkap termasuk membeli barang keperluan bayi.
- Qi memilih nama klasik Melayu untuk anaknya bagi mengekalkan asal usul dan keturunan keluarga.
- Selain persiapan keluarga, Qi bakal muncul dalam filem seram pertama lakonannya, Pemuja, yang turut menampilkan pelakon terkenal lain.
Dijangka bakal menimang cahaya mata penghujung Januari ini, pelakon, Qi Razali memaklumkan bahawa beberapa persediaan seperti membeli barang keperluan sudah pun dibuatnya bersama isteri.
Tambah Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, dia juga sudah mempunyai beberapa pilihan nama yang sesuai buat anaknya sulungnya itu.
“Saya sudah beli semua lampin dan sabun yang tiada bahan kimia, malah ‘baby cot’ pun sudah ada, siapkan biliknya dan sebagainya. Jadi benda asas sudah ada dan bila buat persediaan ini saya baru tahu baju ‘baby’ ada saiz kosong tahun.
“InsyaAllah anak saya akan lahir pada hujung bulan ini dan sebenarnya dalam jadual saya pun ada kerja yang perlu dilakukan tapi mungkin kita boleh berbincang sekiranya tarikh bertembung nanti.
“Saya pun sudah ada pilihan nama klasik Melayu dan juga moden. Kita mahukan nama klasik sebab kita mahu dia tahu asal usul dan keturunannya, tak mahulah terlalu moden sebab keluarga saya semuanya menggunakan nama Melayu,” katanya kepada Gempak.
Qi berkongsi perkara tersebut ketika majlis tayangan perfana filem lakonan terbaharunha yang berjudul Pemuja bertempat di TGV The Starling, Petaling Jaya pada Selasa.
Bercerita lanjut, pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) ini mengakui bahawa dia juga banyak bertanya kepada kawan-kawan terdekatnya perihal persediaan untuk bergelar bapa.
“Semua orang bertanya sudah sedia ke nak ada mata panda, dan saya rasa saya faham kenapa pada awalnya lelaki yang kena berjaga malam sebab isteri baru bersalin, dia kena rehat.
“Jadi saya tak tahu nak cakap saya bersedia berjaga malam atau tidak tapi kita berjaga tengah malam nak tengok malam boleh pula. Tapi sekarang ini tengok perlawanan bola, separuh masa pun tak lepas.
“Tapi apa pun memang saya banyak bertanya pada kawan terdekat sebab saya mahu anak saya selesa dan isteri saya juga selesa,” katanya.
Berkongsi mengenai jantina anak, bintang filem Babah ini memaklumkan jangkaan awal doktor merasakan kemungkinan anak yang bakal lahir adalah perempuan. Walau bagaimanapun, dia bersedia sekiranya dikurniakan anak lelaki.
Dalam perkembangan terbaharu, Qi bakal tampil menerusi filem Pemuja yang merupakan filem seram pertama lakonannya.
Selain Qi, filem arahan Azmir Affandi ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Yasmin Hani, Datin Seri Maria Farida, Namron dan ramai lagi.