Sekilas
- Khairul Aming mengesahkan dia sudah tidak menggunakan Perodua Bezza dan kini memandu kenderaan 4x4.
- Kereta Bezza yang sering dilihat di hadapan restoran Rembayung sebenarnya milik stafnya, bukan Khairul Aming.
- Netizen memuji sikap rendah diri dan tidak suka menunjuk usahawan tersebut walaupun sudah berjaya.
Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming mendedahkan bahawa dia sudah tidak lagi menggunakan kereta jenis Perodua Bezza seperti yang sering diperkatakan netizen sebelum ini.
Perkara tersebut dikongsikan Khairul Aming atau lebih dikenali sebagai KA ketika sesi siaran langsung selepas menjawab pertanyaan seorang penonton yang ingin mengetahui sama ada dia masih menggunakan kenderaan berkenaan.
“Tak pakai Bezza dah, saya pakai 4x4. Bezza itu adik saya yang ambil.
“Dia dah modify Bezza saya itu jadi macam nak racing walaupun adik saya perempuan.
“Saya tak pakai Bezza dah, tolonglah berhenti cakap bagusnya KA masih pakai Bezza walaupun dah keluar duit untuk Rembayung. Bezza itu dah lama saya bagi dekat adik,” katanya.
Dalam masa sama, KA turut menjelaskan kekeliruan apabila terdapat sebuah kereta Bezza berwarna biru dilihat diparkir di hadapan restoran miliknya, Rembayung, sehingga disangka miliknya.
“Cuma hari itu ada staf saya parkir kereta Bezza biru depan Rembayung, itu bukan kereta saya. Itu kereta staf saya, saya tak akan pilih warna itu,” katanya dengan nada seloroh.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap rendah diri usahawan berkenaan meskipun telah mencapai kejayaan besar dalam bidang perniagaan.
“Masih humble juga pakai 4x4, sesuai untuk kerja bukannya berkereta mewah macam Lambo bagai.
“KA pakai apa pun tak ada masalah sebab dia layak. Yang aku respek bila dia jenis tak show off tanpa sebab.
“KA memang terbaik, humble, rajin, tak drama dan tak melantun. Pride of Malaysia,” kata beberapa netizen.
Sumber: TikTok