Penyanyi, Ariff Bahran mendakwa dia bersama beberapa rakan lain menjadi mangsa dalam satu kes penipuan membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM425,000, dipercayai melibatkan sebuah penganjur acara konsert.
Menerusi satu perkongsian video, Ariff menjelaskan wang tersebut diberikan kepada pihak penganjur untuk menganjurkan konsert band terkenal Indonesia, iaitu Sheila On 7.
Bagaimanapun, konsert berkenaan gagal direalisasikan meskipun bayaran telah dibuat.
"Saya Ariff Bahran dan rakan-rakan telah terlibat dalam kes penipuan sebanyak RM425,000. Pihak penganjur sepatutnya membawa Sheila On 7 datang ke Malaysia tahun lepas untuk adakan satu konsert namun gagal.
"Merek bersetuju untuk bayar balik namun sampai sekarang tiada bayaran yang kami dapat balik sehingga hari ini selepas satu tahun," katanya.
Ariff secara terbuka merayu agar individu bertanggungjawab tampil menyelesaikan perkara berkenaan secara baik.
"Kalau kau tengah tengok video ni, aku nak kau tahu yang kawan aku baru je lepas cerai, kawan satu lagi kereta dia baru kena tarik dan dia terpaksa gadai emas dia.
"Aku harap sangat kau boleh settle, dan harap sangat kau boleh bayar balik supaya aku tak perlu buat satu lagi video untuk ulas kes ini," tambahnya.