Sekilas
- Bayu Somerset terus kukuhkan identiti dengan koleksi fesyen tradisional moden yang menampilkan motif unik hasil ilustrasi dalaman dan elemen seni serta budaya.
- Butik terbaru di AEON Mall Bandaraya Melaka dibuka untuk beri pengalaman fizikal kepada pelanggan selain jualan dalam talian yang sudah menggalakkan.
- Jenama ini sasarkan pembukaan 32 premis di seluruh Malaysia menjelang 2026, termasuk di Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.
Fesyen tradisional seperti baju kurung Kedah, kebarung dan kebaya terus menjadi pilihan wanita Malaysia, apatah lagi apabila rekaan klasik tersebut diberikan sentuhan moden menerusi permainan warna, motif unik dan fabrik yang selesa.
Menyedari perkembangan itu, jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset terus memperkukuh identitinya dengan mengetengahkan koleksi yang menggabungkan elemen seni, kreativiti dan warisan budaya dalam setiap helaian.
Menariknya, motif yang menghiasi koleksi jenama berkenaan bukan sekadar cetakan biasa, sebaliknya dihasilkan sendiri oleh pasukan ilustrator dalaman bagi memastikan setiap rekaan mempunyai identiti visual tersendiri.
Menurut Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul, pendekatan tersebut menjadi antara keistimewaan jenama itu dalam menawarkan busana tradisional yang kekal relevan dengan gaya hidup masa kini.

“Bayu Somerset mengangkat seni sebagai identiti utama dan memperkukuh pendekatan kreatif yang menggabungkan elemen seni, permainan warna dan keselesaan iaitu menitikberatkan penampilan luaran serta keselesaan pemakai,” katanya.
Jelas Dania, inspirasi rekaan turut mengambil kira pelbagai elemen budaya termasuk kraf tradisional, tekstil, perayaan dan objek budaya yang diterjemahkan dalam bentuk lebih segar serta kontemporari.
Dalam masa sama, jenama itu turut memberi penekanan kepada kepelbagaian pilihan agar koleksinya dapat digayakan wanita daripada pelbagai peringkat usia, latar belakang dan gaya hidup.
Pendekatan tersebut turut diterjemahkan menerusi hubungan Bayu Somerset dengan komuniti pelanggannya yang dikenali sebagai Somerseters.
Bukan itu sahaja, jenama berkenaan turut membuka peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan penggiat seni tempatan bagi memperkenalkan perspektif kreatif baharu dalam penghasilan koleksi akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Bayu Somerset baru-baru ini membuka butik terbaharunya di AEON Mall Bandaraya Melaka sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kehadiran jenama itu di seluruh negara.
Pembukaan butik tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi dan pelakon Ayda Jebat yang menghiburkan pengunjung menerusi dua persembahan lagu termasuk Temberang.
Menurut Dania, meskipun sambutan terhadap jualan dalam talian amat menggalakkan, pihaknya masih melihat kepentingan pengalaman membeli-belah secara fizikal.
“Walaupun jualan menerusi medium maya sangat menggalakkan, kami mahu pelanggan di Melaka serta kawasan berhampiran merasai sendiri keselesaan fabrik, mencuba ketelitian motif rekaan selain melihat sendiri keistimewaan fesyen helaian di butik fizikal,” katanya.
Butik baharu itu menawarkan hampir 200 rekaan merangkumi pakaian wanita dengan pilihan saiz XXS hingga 5XL, selain kemeja lelaki, pakaian kanak-kanak, selendang, aksesori dan pewangi kediaman.
Selain Melaka, jenama berkenaan turut mengembangkan rangkaian butiknya ke Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.
Dania berkata, sambutan pelanggan turut memberikan keyakinan kepada Bayu Somerset untuk meneruskan sasaran pembukaan 32 premis menjelang akhir 2026.
“Sejujurnya sasaran itu mencerminkan keyakinan jenama ini terhadap potensi pasaran baju kurung Kedah, kebarung dan kebaya yang mengekalkan siluet tradisional, selain usaha mendekatkan koleksi dan identiti kreatifnya kepada lebih ramai pelanggan,” jelasnya.

Untuk rekod, Bayu Somerset ditubuhkan pada 2021 ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan bermula sebagai jenama fesyen dalam talian sebelum berkembang dengan rangkaian butik fizikal di seluruh Malaysia.
Perkembangan tersebut memperlihatkan bagaimana jenama fesyen tempatan terus meneroka potensi busana tradisional menerusi pendekatan rekaan yang lebih kreatif, tanpa mengetepikan identiti asalnya.