Sekilas
- Dr Zailah mengumumkan anak perempuannya, Dr Fie Tawfek, telah bertunang pada 2 Ogos lalu dan keluarga sedang merancang hari bahagia mereka.
- Keluarga menyerahkan segalanya kepada Allah dan berharap perjalanan ini adalah yang terbaik untuk Dr Fie dan bakal menantu.
- Dr Fie belum mendedahkan identiti bakal suaminya dan memohon doa agar segala urusan perkahwinan dipermudahkan dan berjalan lancar.
Ibu kepada personaliti media sosial, Dr Fie Tawfek iaitu Dr Zailah meluahkan rasa syukur apabila anak perempuannya kini sudah pun mengikat tali pertunangan pada 2 Ogos lalu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Dr Zailah berkata pada awalnya dia terkejut apabila menerima banyak mesej daripada orang ramai yang mengucapkan tahniah, sebelum menyedari anaknya sudah berkongsi berita pertunangan itu kepada umum.
“Alhamdulillah, anakanda sudah pun bertunang pd 2/8/26 yg lalu. Mesej masuk bertalu-talu, terkejut juga bila ramai yang mengucapkan tahniah.
“Tak perasan rupanya anakanda dah ‘reveal’ tentang pertunangannya. Insya-Allah, saya dan keluarga kini sedang merancang hari bahagia mereka.
“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan dan mengucapkan tahniah. Kami amat menghargai setiap doa dan ingatan yang baik,” coretnya.
Berkongsi sedikit mengenai pertunangan anaknya, Dr Zailah mengakui bukan mudah untuk keluarga memberikan persetujuan terhadap pilihan hati Dr Fie.
Bagaimanapun kata Dr Zailah, mereka sekeluarga menyerahkan segala ketentuan kepada Allah dan berharap ini merupakan perjalanan terbaik buat Dr Fie bersama bakal menantu.
“Bukan mudah untuk kami memberi persetujuan, namun kita hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan.
“Semoga pilihan dan perjalanan ini adalah yang terbaik buat mereka berdua,” coretnya.
Dalam hantaran yang sama, Dr Zailah turut memohon agar orang ramai mendoakan supaya segala urusan mereka dipermudahkan dan setiap perancangan menuju hari bahagia berjalan lancar.
“Saya mohon doa daripada semua, semoga Allah permudahkan segala urusan, lancarkan segala perancangan, pelihara hubungan mereka dan membawa mereka hingga ke hari yang dinanti.
“Aaminn Insya-Allah, doakan yang baik-baik untuk anakanda dan bakal menantu,” tulisnya.
Terdahulu, Dr Fie mengesahkan dirinya sudah bertunang sejak 6 Ogos lalu namun baru berkongsi foto majlis tersebut kepada umum.
Bagaimanapun, Dr.Fie belum bersedia mendedahkan identiti bakal suaminya kepada umum dan memilih untuk menyimpan perkara tersebut sehingga tiba hari pernikahan kelak.
Untuk info, Dr. Fie pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Nubhan pada Ogos 2015 sebelum bercerai talak dua pada 2 Disember 2025.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.