Sekilas
- Jofliam kini memegang hak penjagaan penuh terhadap anak-anaknya, Han dan Yuki, selepas keputusan mahkamah.
- Kes komitan terhadap Jofliam telah digugurkan oleh mahkamah.
- Jofliam berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan sebaiknya dan fokus mencari rezeki untuk keluarga.
Personaliti media sosial, Jofliam meluahkan rasa syukur selepas mahkamah membuat keputusan untuk menyerahkan hak penjagaan anak, Han dan Yuki diberikan kepadanya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Jofliam juga memaklumkan mahkamah telah menggugurkan kes komitan terhadapnya.
“Allahukbar. Pada hari ini, mahkamah telah memuktamadkan hak jagaan penuh bagi kedua-dua anak kandung saya, Han dan Yuki, jatuh kepada ayah kandung iaitu saya.
“Pihak-pihak telah menarik balik dan mahkamah juga telah menggugurkan kes komitan terhadap saya,” katanya.
Sebagai pemegang hak hadhanah penuh terhadap kedua-dua anaknya, Jofliam berjanji akan menjalankan tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.
“Sebagai pemegang hak hadhanah penuh kepada kedua-dua anak saya, saya akan menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya.
“Saya akan bersikap fleksibel dan bertoleransi demi anak-anak,” ujarnya.
Pada masa sama, Jofliam berkata dia kini mahu mengetepikan segala perkara yang telah berlaku dan memberikan tumpuan kepada tanggungjawab sebagai bapa serta mencari rezeki untuk keluarganya.
“Sekarang adalah masa untuk saya fokus mencari rezeki demi keluarga baru saya. Terima kasih semua yang tidak putus-putus mendoakan yang terbaik,” katanya lagi.