Sekilas
- Viviana meluahkan rasa kecewa selepas menerima kritikan negatif di media sosial, meminta orang ramai tidak menghina penampilan dan fizikalnya.
- Guru tari terkenal, Linda Jasmine, memberikan sokongan dengan memuji kecantikan, bakat, dan hati mulia Viviana.
- Viviana terpilih sebagai peserta Talk To My Manager 2 dan bakal menyertai program Big Stage X Rocketfuel yang akan bermula hujung minggu ini.
Penyanyi, Viviana menyorot perhatian apabila tampil meluahkan perasaannya selepas dipercayai menjadi sasaran kritikan serta komen negatif di media sosial.
Menerusi ciapan di Threads, Viviana memaklumkan bahawa dia terima sekiranya ada yang tidak menyukai bakat mahupun persembahan yang dilakukannya namun meminta orang ramai untuk tidak sesekali menghina penampilan mahupun fizikalnya.
“Maaf kalau saya tiada pakej di mata korang, kalau tidak suka dengan bakat saya, jangan hina rupa dan fizikal saya,” tulisnya.
Hantaran anak kepada penyanyi Ani Mayuni itu kemudiannya menyorot perhatian ramai yang rata-ratanya tampil memberikan kata-kata semangat buatnya.
Antara yang meninggalkan komen terhadap ciapan Viviana itu termasuklah guru tari terkenal, Linda Jasmine yang menyifatkan Viviana sebagai seorang individu yang cantik, berbakat dan berhati mulia.
“You are beautiful! And most importantly, you are the only you! So beautiful, talented and kind hearted. Love you and your mum too!” tulis Linda.
Dalam perkembangan lain, Viviana berpeluang menonjolkan lagi bakatnya apabila terpilih sebagai salah satu peserta Talk To My Manager 2 yang bakal menyertai program Big Stage X Rocketfuel yang bakal bermula hujung minggu ini.
Selain Viviana, antara bintang TTMM2 yang turut tercalon bagi dipilih untuk ke program Big Stage termasuklah Azeva, Cik B, Hussain dan Kim Khairii.
Sumber: Threads