Sekilas
- Khairul Aming menasihatkan orang ramai supaya tidak takut gagal dan tidak terlalu memikirkan pandangan negatif orang lain ketika mengejar impian.
- Beliau berkata orang yang sering menghakimi biasanya belum mencapai kejayaan, manakala mereka yang berjaya lebih menghormati usaha orang lain.
- Khairul Aming mengingatkan supaya jangan berputus asa dan fokus pada impian sendiri tanpa menghiraukan kata-kata negatif dari orang lain.
Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming menasihatkan orang ramai untuk tidak terlalu memikirkan pandangan atau tanggapan orang lain ketika mahu mengejar impian.
Menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, Khairul Aming berkata seseorang itu tidak seharusnya takut untuk mencuba hanya kerana bimbang dilihat gagal oleh orang lain.
“Kejar lah impian itu. Ada orang kata, ‘Saya risau orang tengok kegagalan saya.’ Yang tengok awak itu gagal juga.
“Jadi nak kisah apa? Buat saja,” katanya.
Tambah Khairul Aming, individu yang sering menghakimi orang lain berkemungkinan belum mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka sendiri.
“Percayalah saya bahawa orang yang paling banyak ‘judge’ adalah orang yang paling gagal. Orang yang berjaya tak ‘judge’ orang.
“Macam contoh di gimnasium, saya cakap jujur ya. Abang-abang yang ada ‘six pack’ lagi hormat orang yang tengah berusaha nak kuruskan badan berbanding mereka yang berisi.
“Begitu juga dengan orang yang berniaga. Mereka yang dah mempunyai keuntungan yang tinggi lagi hormat mereka yang tengah berusaha untuk memulakan perniagaan mereka,” tambahnya.
Di akhir video itu, Khairul Aming sekali lagi menitipkan pesan kepada orang ramai untuk tidak berputus asa dalam mengejar impian.
“Orang yang dah berjaya ini tak ada masa nak toksik segala macam ini.
“Jadi, jangan risau dengan mulut orang yang suka ‘judge’ sebab dia sendiri tak ada masa nak kejar impian dia,” katanya lagi.