Sekilas
- Yasmin Hani mengakui rasa janggal berlakon bersama bekas adik iparnya, Qi Razali, terutama dalam babak melibatkan sentuhan dan berbaring dalam filem terbaharu mereka, Pemuja.
- Walaupun ada rasa kekok, mereka mengambil pendekatan profesional untuk memberikan lakonan terbaik, termasuk babak tampar yang hanya memerlukan satu ‘take’ sahaja.
- Ini bukan kali pertama Yasmin dan Qi digandingkan sebagai pasangan, sebelum ini mereka pernah berlakon bersama dalam drama Dian pada 2018.
Pelakon, Yasmin Hani mengakui berasa sedikit janggal apabila digandingkan bersama bekas adik iparnya yang juga pelakon, Qi Razali sebagai peneraju utama bagi filem terbaharu lakonan mereka iaitu Pemuja.
Menurut Hani atau nama lengkapnya Yasmin Hani Ismail Richardson, rasa kekok itu mula bertambah apabila mereka perlu melakonkan beberapa babak melibatkan sentuhan termasuklah babak berbaring bersama.
“Ada rasa kekok itu sikit tapi saya tak layan sangat sebab sudah kenal Qi dulu sebelum kenal Sha'arin (bekas suami). Qi memang kawan saya.
"Sha'arin sebenarnya orang terakhir dalam keluarga mereka yang saya kenal, tapi itulah yang akhirnya jadi suami saya.
“Babak baring itu memang baring betul-betul, bukan sekadar lakonan kamera. Jadi masa itu saya macam, ‘Oh my God… okeylah, buat sajalah,” katanya kepada Gempak.
Hani berkongsi perkara tersebut ketika majlis tayangan perfana filem lakonan terbaharunya yang berjudul Pemuja bertempat di TGV The Starling, Petaling Jaya pada Selasa.
Walau bagaimanapun, Hani memaklumkan dia dan Qi mengambil pendekatan untuk bersikap profesional bagi memberikan yang terbaik dalam lakonan.
“Tetapi tak ada apa pun, kami profesional jalankan tugas.
“Babak tampar pun ‘real’. Tapi hanya satu ‘take’ sahaja. Lepas itu tangan saya memang sakit,” kongsinya.
Ujar Hani, ini bukanlah kali pertama dia dan Qi digandingkan bersama. Kali terakhir mereka berlakon bersama adalah sebagai suami isteri menerusi drama Dian pada 2018.
“Sebelum ini kami pernah berlakon bersama dalam drama Dian. Waktu itu pun jadi suami isteri dan bermadu dengan Erra Fazira.
"Ada adegan bersanding juga. Anak saya tengok pun rasa pelik sebab saya dan ‘acik’ dia ada dalam satu skrin,” katanya berseloroh.
Untuk rekod, Hani pernah berkahwin dengan Sha'arin Razali Wong pada tahun 2011, namun mereka bercerai pada Disember 2021.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 13, dan Eissa Elzander Wong, 10 tahun.
Dalam perkembangan terbaharu, Hani bakal tampil menerusi filem Pemuja yang merupakan filem seram pertama lakonannya.
Selain Maria, filem arahan Azmir Affandi ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Qi Razali, Datin Seri Maria Farida, Namron dan ramai lagi.