Sekilas
- Penyanyi Ariff Bahran kehilangan wang sebanyak RM425,000 akibat penipuan melibatkan penganjur konsert yang gagal direalisasikan.
- Walaupun kerugian besar, Ariff bersyukur kerana isterinya selamat melahirkan anak ketiga dan keluarganya sihat.
- Ariff menegaskan wang boleh dicari semula selagi dia sihat dan bersemangat untuk terus berjuang mencari rezeki.
Penyanyi Ariff Bahran mengakui kehilangan wang berjumlah RM425,000 bukan perkara mudah untuk diterima, namun memilih untuk bersyukur dan melihat ujian tersebut dari sudut yang lebih positif.
Menerusi satu perkongsian video di aplikasi Threads, Ariff berkata walaupun berdepan kerugian besar, dia bersyukur apabila isterinya selamat melahirkan anak ketiga mereka.
“Hilang RM425,000 sangat berat sebenarnya, tapi di sebalik ujian ini aku bersyukur tengok isteri selamat melahirkan anak ketiga.
“Anak-anak sihat, keluarga sentiasa berada di sisi. Benda itu sebenarnya nikmat yang besar Allah bagi,” katanya.
Pelantun lagu Seandainya itu turut menegaskan wang boleh dicari semula selagi dia masih mempunyai kudrat dan kesihatan.
“Duit boleh cari, masih boleh fight. Dapat tak dapat itu cerita belakang. Selagi saya ada nyawa, tenaga dan tubuh badan yang sihat, saya akan terus berjuang cari rezeki.
“Yang penting orang yang aku sayang sihat walafiat dan selamat,” ujarnya.
Terdahulu, Ariff mendakwa dia bersama beberapa rakan lain menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM425,000, dipercayai melibatkan sebuah penganjur acara konsert.
Menerusi satu perkongsian video sebelum ini, Ariff menjelaskan wang tersebut diserahkan kepada pihak penganjur bagi menganjurkan sebuah konsert melibatkan band terkenal Indonesia, Sheila On 7.
Bagaimanapun, konsert berkenaan gagal direalisasikan meskipun bayaran telah dibuat, sekali gus mencetuskan kerugian besar kepada pihak terlibat.
Sumber: Threads