Sekilas
- Nicolas Cage berkongsi rasa terkilan kerana tidak pernah menerima pelawaan Sean Connery untuk bermain golf bersama walaupun mereka rapat selepas bergandingan dalam filem The Rock (1996).
- Cage mengenang Connery sebagai seorang yang kebapaan dan mengambil berat, serta menganggap hubungan mereka lebih bermakna daripada sekadar rakan pelakon.
- Pengalaman Cage bersama Connery mengingatkan pentingnya menghargai peluang meluangkan masa dengan insan tersayang sebelum ia terlepas begitu sahaja.
Pesohor Hollywood, Nicolas Cage meluahkan rasa terkilan kerana tidak mengambil peluang meluangkan lebih banyak masa bersama mendiang Sean Connery di luar set penggambaran.
Menerusi sesi panel khas di New York Comic Con pada Sabtu, 10 Oktober lalu, Cage mengenang kembali persahabatan yang terjalin antara mereka selepas bergandingan dalam filem aksi The Rock pada 1996.
Menurut Cage, perkara yang paling dikesalinya adalah kerana tidak pernah menyahut pelawaan Connery untuk bermain golf bersama, meskipun pelakon legenda itu berkali-kali mengajaknya.
Menurutnya, berbanding golf, beliu lebih gemar menghabiskan masa lapang dengan memancing dan bersantai di atas bot miliknya, sekali gus membuatkan pelawaan tersebut sering diketepikan.
“Sehingga hari ini, saya merasakan sepatutnya saya menerima pelawaannya,” katanya ketika berkongsi pengalaman itu di hadapan penonton seperti dilaporkan Yahoo.
Bagaimanapun, Cage menegaskan hubungan mereka kekal erat walaupun tidak berkesempatan berkongsi minat yang sama.
Malah, beliau pernah mengunjungi Connery di kediamannya dan mereka sesekali menikmati minuman scotch sambil berbual hingga larut malam mengenai dunia perfileman serta kehidupan pelakon berkenaan.
Dalam sesi tersebut, Cage, aktor berusia 62, menyifatkan Connery sebagai seorang yang sangat kebapaan dan mengambil berat, selain mengakui hubungan mereka jauh lebih bermakna daripada sekadar rakan pelakon.
Filem The Rock arahan Michael Bay menyaksikan Connery membawa watak bekas kapten Perkhidmatan Udara Khas Britain (SAS), manakala Cage memegang peranan sebagai pakar senjata kimia FBI.
Kedua-dua watak itu bekerjasama untuk menghentikan sekumpulan anggota Marin Amerika Syarikat yang memberontak daripada melancarkan serangan senjata kimia dari Pulau Alcatraz.
Filem berkenaan mencatat kejayaan komersial apabila muncul sebagai filem dengan kutipan keempat tertinggi pada 1996.
Bagi Cage, peluang berlakon di samping Connery turut membawa makna tersendiri kerana bintang James Bond itu merupakan antara individu yang mempengaruhi keputusannya untuk bergelar pelakon.
Cage mendedahkan dia mula mengenali lakonan Connery menerusi filem Dr. No ketika menontonnya di pawagam pandu masuk bersama bapanya.
Pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam sehingga dia melihat Connery sebagai gambaran lelaki yang ingin dicontohinya.
Ketika ditanya mengenai filem James Bond lakonan Connery yang paling digemarinya, Cage tanpa teragak-agak memilih Goldfinger.
Connery meninggal dunia pada 2020 ketika berusia 90 tahun. Selepas pemergian pelakon legenda itu, Cage mengenangnya bukan sahaja sebagai seorang sahabat, malah antara insan yang banyak mengajarnya mengenai dunia perfileman.
Walaupun menghargai setiap kenangan yang pernah dikongsi bersama, Cage mengakui peluang bermain golf yang tidak pernah menjadi kenyataan itu kekal sebagai satu penyesalan.
Bagi Cage, pengalaman tersebut menjadi peringatan peluang meluangkan masa bersama insan tersayang tidak seharusnya dipandang ringan kerana ada kesempatan yang mungkin tidak akan datang lagi.