Sekilas
- Pelakon Ezzanie Jasny membuat laporan polis selepas menjadi mangsa gangguan oleh individu yang menyamar menggunakan akaun palsu di media sosial.
- Akaun palsu tersebut meninggalkan komen tidak wajar dan menyebarkan maklumat palsu termasuk gambar serta ucapan takziah palsu terhadap ibu bapanya yang masih hidup.
- Ezzanie berkongsi tangkapan layar mesej ugutan dari akaun palsu itu dan akan terus mengemas kini pihak berkuasa jika gangguan berterusan.
Pelakon Ezzanie Jasny tampil membuat laporan polis apabila masih menjadi mangsa gangguan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar menggunakan akaun palsu dengan wajah dan namanya di media sosial.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram Stories, Ezzanie mendedahkan kewujudan akaun palsu yang aktif meninggalkan komen tidak wajar di sesi siaran langsung individu lain, sekali gus mencetuskan salah faham seolah-olah komen tersebut datang daripadanya.
“Aku tengah tahan nak marah je ni. Apa yang dia dengki sangat dengan aku? Setahu aku, aku takde kacau life siapa-siapa pun. Kau ni sumpah melampau. Siap post gambar mak bapak aku cakap ‘salam takziah’. Memang ey.
"Mak bapak aku hidup lagi tau h*n*t,” luahnya.


Lebih mengejutkan, Ezzanie turut berkongsi tangkapan layar mesej peribadi daripada akaun terbabit yang mengandungi ugutan serta niat untuk terus mengganggunya, termasuk melibatkan ahli keluarganya.
“Aku takkan berhenti, aku akan balas satu keluarga kau bukan TikTok je aku buat,” antara mesej yang didakwa dihantar oleh individu berkenaan.
Gangguan tersebut bukan sekadar komen, malah melibatkan penyebaran maklumat palsu dan sensitif, termasuk memuat naik kandungan berunsur ‘salam takziah’ kononnya melibatkan ibu bapanya, sedangkan kedua-duanya masih hidup.
“Tahan aku dari marah please guys. Ya Allahhhh, apa masalah kau eh manusia? Panasnya hati aku ni,” katanya lagi dalam satu hantaran lain.

Susulan insiden berterusan itu, Ezzanie memaklumkan sudah membuat laporan polis dan akan mengemas kini pihak berkuasa sekiranya gangguan tersebut berterusan.
“Just to clarify, there is another fake account still using my photos and commenting on other people’s live sessions. These comments are not from me.
"I have already made a police report regarding a previous incident, and I will be updating the authorities about this as well,” jelasnya.
