Sekilas
- Video prank antara pelakon Mierul Aiman dan Aedy Ashraf yang memaparkan Aedy meminjamkan RM1,000 tanpa soal mendapat perhatian ramai di media sosial.
- Reaksi prihatin Aedy yang bertanya keadaan Mierul selepas meminjam wang dipuji netizen sebagai contoh sahabat sejati yang mengambil berat.
- Aedy juga bakal menjadi penerbit dan pelakon utama dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang akan ditayangkan pada 7 Mei 2026 bersama barisan pelakon popular lain.
Satu video perkongsian daripada stesen radio ERA FM yang memaparkan ‘prank’ melibatkan pelakon Mierul Aiman dan Aedy Ashraf mencuri perhatian ramai dalam media sosial.
Menerusi video tersebut, Mierul dilihat menghubungi Aedy untuk meminjam wang sebanyak RM1,000 sebagai sebahagian daripada kandungan ‘prank’ berkenaan.
Namun, reaksi Aedy yang tanpa banyak soal terus bersetuju untuk membantu selain menunjukkan rasa prihatin terhadap keadaan rakannya itu mengundang pujian netizen.
Dalam rakaman tersebut, Aedy bukan sahaja bersetuju memberi pinjaman, malah sempat bertanya keadaan Mierul sama ada dia berada dalam situasi baik atau sebaliknya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap Aedy yang disifatkan sebagai seorang rakan yang baik dan tidak berkira.
“Terbaik Aedy… bagaimana dia tanya ‘kau okey tak?’ Duit bukan isu, tapi dia ambil berat.
“Ramai kawan artis yang pernah ‘test’ Aedy, memang ramai sayang dia,” komen beberapa netizen.
Selain itu, ada juga yang menyifatkan tindakan pelakon tersebut sebagai contoh sahabat sejati yang mengutamakan kebajikan rakan terlebih dahulu.
“Itulah kawan sebenar. Instinct pertama dia adalah risau dan tanya kawan dia okey atau tidak,” tulis seorang pengguna.
Malah, segelintir netizen turut berkongsi pengalaman bertemu Aedy yang disifatkan sebagai seorang yang lemah lembut dan tidak sombong ketika berinteraksi dengan orang ramai.
“Saya pernah jumpa AA kat Berjaya timeSQ. Dia makan meja sebelah dengan mama dia n gf dia masa tu tahun 2019. Dia bercakap dengan gf n mama dia kan mcm tak dengar suara, lembut sangat. Pastu ada fans datang nak bergambar, dia cakap slow sangat padahal dia kat belakang i je tapi sepatah tak dengar apa dia cakap, memang soft spoken betul dan tak sombong ye dia,” komen beberapa netizen lagi.
Menerusi perkembangan lain, Aedy bakal tampil sebagai penerbit selain memegang watak utama dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.
Selain Aedy, filem arahan Razaisyam Rashid itu bakal menampilkan gandingan pelakon popular seperti Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.
TARUNG: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti ialah orang terdekatnya satu ketika dahulu.