Pelakon televisyen Ashish Kapoor, yang ditahan atas tuduhan merogol seorang wanita ketika menghadiri sebuah parti di Delhi, India bulan lalu, telah diperintahkan menjalani tahanan reman kehakiman selama 14 hari.
Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tis Hazari di ibu negara.
Advertisement
Sepanjang tahanan polis sebelum ini, semua ujian perubatan terhadap tertuduh telah dijalankan dan dia turut disoal siasat mengenai kronologi kejadian serta lokasi yang dikunjungi.
Namun begitu, telefon bimbit milik pengadu masih belum ditemui.
Pegawai penyiasat memohon reman kehakiman selama 14 hari memandangkan siasatan masih di peringkat awal dan tempoh tahanan diperlukan bagi memastikan siasatan berjalan lancar serta mengelakkan bukti diganggu.
Selepas empat hari dalam tahanan polis, Kapoor disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal atau kekerasan ketika ditahan.
Sebelum ini, Kapoor berjaya dikesan di Pune selepas dipercayai melarikan diri ke Goa. Dia ditahan hasil operasi bersepadu beberapa pasukan polis.
Aduan terhadapnya difailkan oleh seorang wanita yang mendakwa mengenali pelakon itu melalui Instagram sebelum dijemput ke sebuah parti rumah pada minggu kedua Ogos.
Wanita terbabit menuduh Kapoor melakukan serangan seksual ke atasnya di dalam bilik air.
Siasatan polis mendapati rakaman CCTV dan keterangan saksi mengesahkan Kapoor dan wanita itu masuk ke bilik air bersama dan berada di dalam untuk tempoh lama.
Apabila tetamu lain mengetuk pintu berulang kali, pertengkaran tercetus hingga ke pintu pagar kawasan perumahan.
Di situ, wanita berkenaan mendakwa dia turut dipukul oleh isteri penganjur parti.
Polis memaklumkan, 'Isteri penganjur itulah akhirnya yang membuat panggilan kecemasan (PCR call)'.