Sekilas
- Terence Law atau T-Rex Kamikaze kembali dengan EP terbaru berjudul "T-REX KEMBALI MENYALA" yang menampilkan lima lagu rock penuh emosi dan refleksi peribadi.
- Single utama "Revive" melambangkan semangat kebangkitan dan kesinambungan seni T-Rex tanpa mengejar trend atau penjenamaan semula.
- EP ini sudah boleh didengar di YouTube, dengan pelancaran di Spotify dan Apple Music akan menyusul, sambil muzik video rasmi masih dalam persiapan.
Siapa yang tidak kenal dengan Terence Law atau nama komersialnya T-Rex Kamikaze. Nama T-Rex dikenali dengan kehebatannya menyanyikan lagu-lagu rock bersama kumpulan Kamikaze antaranya Luhur, Tawa Dalam Tangisan, Pergi Selamanya dan banyak lagi.
Ramai peminat terutamanya penggemar muzik rock mengakui penghayatan T-Rex dalam nyanyian sangat hebat walaupun bukan Melayu dan ia sesuatu yang membanggakan.
Kini selepas lama mendiamkan diri dan melalui episod panjang tanpa album, bekas vokalis Kamikaze ini tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul T-REX KEMBALI MENYALA, sekali gus menandakan kepulangannya secara rasmi ke persada muzik tanah air.
EP ini mempertaruhkan single utama, “Revive" yang membawa pengertian tersendiri, manakala T-REX KEMBALI MENYALA' adalah tafsiran tentang ketahanan diri, kebangkitan semula dan kesinambungan seni dirinya.
EP ini merakam perjalanan peribadi dan refleksi T-Rex melalui muzik rock yang jujur dan beremosi. Ia menampilkan lima buah lagu yang secara keseluruhannya menggambarkan fasa perjalanan seni dan kehidupan T-Rex.
Single utama “Revive" mencerminkan semangat teras EP ini, mentah, berlandaskan realiti dan tanpa kompromi. Lagu ini melambangkan kepulangan T-Rex, bukan sebagai satu penjenamaan semula, tetapi sebagai kesinambungan suara yang tidak pernah benar-benar hilang.
“EP ini bukan tentang mengejar trend atau membuktikan sesuatu. Ia tentang bangkit semula dan membiarkan muzik berbicara dengan cara tersendiri.
"Peminat perlu menikmati lagu-lagu ini untuk mendalami dan mentafsir apa yang ingin disampaikan,” katanya.
Walaupun muzik video rasmi masih dalam peringkat persiapan, para pendengar kini boleh menikmati karya-karya dalam EP ini melalui pelancaran digital, dengan kandungan visual tambahan bakal diumumkan dalam masa terdekat.
“T-REX KEMBALI MENYALA” kini boleh ditonton di YouTube, manakala Spotify dan Apple Music akan menyusul di platform digital tidak lama lagi.
Mengimbas pembabitan bersama Kamikaze, populariti mereka pernah mendapat sambutan meluas dan kekal diingati dalam kalangan peminat muzik rock tempatan sehingga hari ini.
Sebagai antara figura awal yang aktif dalam arena muzik rock Malaysia, T-Rex telah lama berkecimpung dalam kedua-dua arus perdana dan muzik independen.
Persembahan bertenaga serta penulisan lagu yang berteraskan emosi nyata telah membina kelompok peminat yang setia sepanjang kerjayanya.
Pada tahun 2001, Kamikaze menerima Anugerah Album Rock Terbaik di Anugerah Industri
Muzik (AIM), sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan awal seni T-Rex.