Sekilas
- Abiejam meluahkan rasa terkilan terhadap komen Wak Doyok yang mempertikaikan niatnya menawarkan hantaran RM1 juta untuk calon isteri.
- Abiejam menjelaskan komen tersebut mengganggu hubungannya dengan adik dan usahawan, Siti Jamumall, serta menegaskan dia tidak meminta wang tetapi hanya sokongan.
- Wak Doyok sebelum ini mencadangkan wang hantaran itu digunakan untuk membantu Siti Jamumall yang sedang menghadapi kesusahan.
Pempengaruh media sosial, Abiejam meluahkan rasa terkilan dengan tindakan pelakon Wak Doyok yang meninggakan komen di video mengenai dirinya menawarkan hantaran RM1 juta untuk calon isteri.
Menurut Abiejam atau nama sebenarnya Mohd Khairul Nizam Wahi, komen yang ditinggalkan itu agak sensitif terutama hal peribadi khususnya melibatkan ahli keluarganya.
“Bila Wak komen dekat salah satu posting yang berjuta view… Wak komen kenapa tak bantu adik sendiri RM3 juta? Kenapa sibuk nak bagi hantaran RM1 juta?
“Wak kena tahu satu benda. Itu adalah niat saya. Dan saya tidak menyusahkan siapa-siapa. Saya tak minta duit daripada siapa-siapa. Wak komen macam tu, Wak buatkan semua orang, salah anggap pada saya.
“Sedangkan dorang tak tahu apa isu dalaman. Dorang tak tahu fasal isu adik-beradik, isu family, isu bisnes saya. Saya tak boleh nak reveal semua benda,” katanya dalam keadaan sebak.
Abiejam turut mendakwa tindakan Wak Doyok itu juga menganggu hubungannya dengan adiknya yang juga pempengaruh dan usahawan Siti Jamumall.
“Dia buatkan saya dengan Siti kucar kacir. Saya tak suka benda tu, tolonglah. Wak, tolonglah bagi peluang untuk saya… saya nak berdikari. Wak tahu keadaan saya, kan?
“Saya tak boleh bergerak, tak boleh berjalan. Bagilah peluang untuk saya mula langkah baru,” ujarnya
Dalam pada itu, Abiejam menegaskan dia tidak pernah mahu meraih simpati atau menggunakan wang orang lain namun apa yang diharapkan hanya sokongan.
“Saya tak minta simpati, saya tak minta duit korang. Cuma saya minta sokongan daripada korang. InsyaAllah, Wak pun kenal saya. Saya rasa kalau Wak DM saya, saya terima dengan tangan terbuka atas Wak punya komen.
“Saya harap Wak dapat sokong saya, saya dapat sokong Wak juga. Saya pernah jumpa dengan Wak, saya pernah sokong barang Wak juga. Tapi saya tak sangka Wak komen macam ni,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Abiejam turut memohon maaf kepada netizen sekiranya ada tersalah cakap atau terkasar bahasa dengan kenyataannya sebelum ini.
Terdahulu, Wak Doyok meninggalkan komen mengatakan wang RM1 juta itu sepatutnya digunakan untuk membantu Siti Jamumall yang tengah dalam kesusahan.
“Dari RM1 juta pergilah bantu adik dia jamumall (Siti) tu tengah susah tu,” komennya.