Sekilas
- Munif Ahmad dari Hijjaz berkata ketiadaan album fizikal dan kurangnya proses penghasilan lagu yang teliti menyukarkan penyanyi nasyid generasi baharu untuk dikenali dan dihargai peminat.
- Isman Isam menegaskan penyanyi nasyid lama mendapat sokongan syarikat rakaman besar dengan proses pemilihan lagu ketat dan promosi di televisyen serta radio yang membantu mereka mengekalkan populariti.
- Hijjaz akan mengadakan Konsert 3 Dekad Rindu Sumayyah di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober 2026, menampilkan 30 lagu yang mengimbau perjalanan seni mereka selama tiga dekad.
Ketiadaan album fizikal dan proses penghasilan lagu yang kurang teliti antara faktor yang menyebabkan penyanyi nasyid generasi baharu sukar mencipta nama di dalam industri.
Perkara itu dikongsikan oleh salah seorang anggota Hijjaz, Munif Ahmad yang berpendapat peminat masa kini sukar untuk benar-benar mengenali dan menghargai karya seseorang artis jika mereka hanya tampil dengan single berbanding album.
"Dulu kita ada album. Itu yang penting. Peminat zaman dahulu memang hardcore. Kalau mereka minat, mereka hafal semua lagu dan kadang-kadang mereka lebih tahu daripada kami. Mereka simpan album dan jadikan sebagai koleksi.
"Peminat seperti ini, bila kita seru mereka akan datang. Peminat artis sekarang pula tiada album kerana kebanyakannya hanya menghasilkan single. Jadi macam mana mereka nak jadi peminat yang benar-benar hardcore?" katanya kepada Gempak.
Sementara itu, seorang lagi anggota Hijjaz, Isman Isam berkata, mereka bertuah kerana berada di bawah syarikat rakaman yang besar dan mempunyai proses pemilihan lagu yang ketat.
Menurutnya, perkara itu membantu memastikan setiap lagu yang diterbitkan berkualiti.
"Dulu kami bernaung di bawah syarikat rakaman yang besar. Segala promosi telah dirancang dengan baik. Kami ada Unit Artist & Repertoire (A&R) yang akan mendengar setiap lagu.
"Hanya lagu yang benar-benar berkualiti akan dipilih untuk dimuatkan dalam album. Mereka akan menilai dan memastikan sesebuah album benar-benar bersedia untuk dipasarkan. Itulah tugas A&R, mereka ada garis panduan yang jelas untuk melahirkan seorang artis.
"Sekarang, penyanyi cepat berpuas hati dengan nyanyian mereka, tetapi apabila diterbitkan hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Memang ramai yang bagus, tetapi tidak kurang juga yang sebaliknya," ujarnya.
Tambah Isman, penyanyi nasyid generasi baharu juga dilihat kurang aktif membuat promosi di stesen televisyen dan radio.
"Dulu album terjual ratusan ribu unit. Orang beli dalam bentuk fizikal dan ia menjadi kenangan. Wartawan, televisyen dan radio sama-sama membantu mempromosikan karya kami. Kami melalui keseluruhan proses dalam industri hiburan dan mengikuti saluran promosi yang betul sehingga nama artis benar-benar melekat di hati peminat.
"Artis baharu hari ini tidak melalui proses itu. Mereka tidak mengenali wartawan mahupun DJ. Malah, ada yang tidak mahu hadir ke stesen televisyen atau radio untuk membuat promosi.
"Sedangkan promosi di televisyen dan radio merupakan platform wajib untuk memperkenalkan diri dalam industri hiburan. Dahulu kami hanya ikut jadual yang telah disusun. Kami pergi promosi lagu walaupun tanpa bayaran," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hijjaz bakal mengadakan Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober 2026.
Konsert yang berlangsung selama kira-kira dua jam setengah itu akan menampilkan 30 buah lagu, sekali gus membawa penonton mengimbau perjalanan seni Hijjaz sepanjang tiga dekad.
