Juri tetap Gegar Vaganza 9 (GV9) Datuk Syafinaz Selamat mendedahkan sekiranya salah seorang finalis program tersebut ingin bergelar juara, bintang berkenaan haruslah menepati apa yang dia inginkan.

Jelas Syafinaz, apa yang dicari adalah seseorang yang mampu meninggalkan kesan kepadanya sewaktu melakukan persembahan di pentas final yang akan berlangsung dari Auditorium MBSA, Ahad ini.

“Calon juara yang saya mahukan adalah seorang yang bila saya duduk ketika melihat nyanyiannya, saya akan terkesan dengan persembahan dia.

“Sehinggakan saya mahu rasa dalam diri saya bahawa boleh buat persembahan yang baik sama seperti ‘dia’ di atas pentas, rasa itu yang saya mahukan.

“Sepanjang 10 minggu yang telah berlalu ini, saya sudah pun merasa perasaan itu, malah ia datang daripada berlainan orang.

“Sebab adakala ada peserta yang sangat wow pada minggu itu, sampai saya tertanya-tanya apa yang dia buat sampai bagus sedemikian,” katanya kepada Gempak.

Terdahulu, seramai enam finalis diumumkan berjaya ke pentas final GV9 yang bakal menyaksikan pertarungan sengit di antara Jaclyn Victor, Shila Amzah, Tomok, Bob Yusof, VE dan Hazrul Nizam.

Sementara itu, ditanya mengenai calon juara pilihan, pelantun lagu Ingin Bersamamu itu menjelaskan dirinya tidak mempunyai calon juara kegemaran, malah menganggap semua finalis ialah penyanyi yang hebat.

“Sejujurnya saya tiada bakal calon juara atau peserta yang favorite, pada saya mereka semua penyanyi yang sangat bagus.

“Ada suara yang sangat lemak, ada yang sangat kreatif, ada suara yang very muzikal klasik, pada saya apa yang penting adalah pada malam final nanti apa yang akan dihidangkan,” tambahnya.