Selebriti terkenal, Wak Doyok mendedahkan dia menerima tawaran untuk menghasilkan sebuah filem berkisarkan biografi tentang dirinya dari pengarah filem Indonesia, Ayat-Ayat Cinta iaitu Hanung Bramantyo.

Menurut Wak Doyok, pada permulaannya, dia berada dalam senarai Top 3 bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi otai Amy Search.

"Bulan lepas saya telah menerima tawaran sebuah filem di Indonesia. Namun begitu, bukan saya yang melakonkan watak itu hanya berkisarkan biografi tentang Wak Doyok.

"Sebenarnya, bukan nama saya sahaja tetapi ada tiga orang lagi iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Amy Search.

"Akhirnya, selepas habis tinjauan tersebut, kebanyakannya mahu melihat kisah hidup saya memandangkan di sana tengah popular dengan 'hipster'," katanya kepada Gempak.

Wak Doyok ditemui ketika majlis sidang media Karnival Bling Bling Tour 2019 yang diadakan di Embassy, The Starling Mall baru-baru ini.

Tambah Wak Doyok, dari segi pemilihan pelakon untuk biografi itu, dia diberi kebebasan untuk memilih individu yang persis seperti dirinya.

"Dari segi pelakon saya akan memilih sendiri yang persis seperti saya.

"Saya sudah memilih pelakon Alex Abbad untuk membawa watak diri saya ketika berjambang.

"Bagi watak diri saya sebelum berjambang, akan dicari nanti menerusi ujibakat.

"Selepas filem tersebut ditayangkan, selanjutnya akan dibukukan. Itu yang diberitahu kepada saya," katanya lagi.