Bagi penggemar drama bersiri Rindu Awak Separuh Nyawa, karakter Nurul Huda yang dimainkan oleh Marsha Milan Londoh sangat menarik perhatian.

Watak lembut di sebalik tudung labuh dan sopan Nurul Huda membuat penonton sakit hati kerana ia tak selari dengan sikap yang ditonjolkan.

Marsha berjaya memainkan watak antagonis di dalam diri Nurul Huda yang menjadi orang ketiga dalam hubungan rumah tangga Kasih Maisara (Uqasha Senrose) dan suaminya, Nazril yang dimainkan Syukri Yahaya.

Lantaran kerap menjadi batu api dan 'penjahat' dalam setiap episod drama yang hangat ditayangkan di Astro Ria itu, kemunculannya sebagai Nurul Huda sangat dibenci.

Panggilan 'perempuan suara kepit' yang diberikan Kasih Maisara kepadanya juga melekat, malah ada penonton yang geram sehingga mahu siat siat mulutnya setiap kali mengenangkan lontaran dialog dari Nurul Huda.

"Oh, nak siat mulut kita ya," kata Marsha sambil tergelak saat dihubungi Gempak.

Dia mengaku bukan sahaja menerima ugutan tetapi sering dimaki sehingga kadang ia tidak melibatkan watak Nurul Huda.

Melanjutkan bicaranya mengenai watak Nurul Huda, Marsha mengaku jika meletakkan dirinya sebagai penonton, dia juga akan berasa geram dengan karakter tersebut.

"Kalau saya letak diri sebagai penonton mungkin geram jugalah. Tapi untuk saya, susah nak judge sebab saya yang lakonkan watak Nurul Huda.

"Cuma saya fikir apa yang buat orang geram dengan Nurul Huda kerana saya memainkan watak tersebut secara minimalis atau tidak berlebihan menunjukkan kejahatan. Dan hal itu membuatkan orang melihat semakin geram.

"Satu lagi, volume pergerakan Nurul Huda semuanya sederhana, tapi dialog yang dilontarkan olehnya buat orang geram," jelas Marsha.

Dia yang juga merupakan seorang penyanyi itu mengatakan faktor lain yang membuat penonton membenci Nurul Huda adalah kerana imej bertudung yang dibawakan tetapi mempunyai hati busuk.

"Orang lagi benci sebab kita semua tahu ramai meletakkan wanita yang bertudung sangat tinggi. Jadi bila kita lakonkan watak yang di sebalik selalu digambarkan, orang lebih geram," tambahnya lagi.

Sedang berada dalam minggu minggu akhir drama, Marsha mengatakan penonton akan lebih sakit hati dan geram dengan permainan Nurul Huda kerana ia sudah berada dalam volume atau skala jahat yang tinggi.

"Untuk watak Nurul Huda ada banyak stage sejak drama ini bermula. Tapi sekarang, watak ini sudah berada pada skala 10 kejahatannya!" kata Marsha ketawa.

Drama Rindu Awak Separuh Nyawa bersiaran dari hari isnin hingga Khamis menerusi slot Megadramaa pada pukul 10 malam di saluran Astro Ria HD (104).