Highlights

3 Kali Diserang Strok — Lelaki Ini Bertuah. Teguhnya Cinta Pengantin Perempuan, Tersenyum Menolak Kerusi Roda… #CoupleGoals

gempak
Huda Hussain
07/10/2019
10:19 MYT
Sponsor Banner
3 Kali Diserang Strok — Lelaki Ini Bertuah. Teguhnya Cinta Pengantin Perempuan, Tersenyum Menolak Kerusi Roda… #CoupleGoals
Benarkah cinta sejati itu masih wujud? Hinggalah InTrend menemukan pasangan sejoli ini. Menerusi perkongsian posting di Instagram selebriti Fasha Sandha yang dimuat naik hujung minggu lalu, membuatkan kami terpanggil mahu mengetahui kisah pengantin yang tular menolak suaminya yang terpaksa duduk di atas kerusi dek kerana lumpuh lantas tidak berupaya berjalan seperti biasa.
Ayuh titipkan doa kalian buat pasangan pengantin baru Aliff Saidi (32) dan suri hatinya Hazreen Affiza (30) agar mahligai yang dibina kekal bahagia menyulam cinta hingga hujung nyawa.
Detik perkenalan dengan suami, dah berapa lama kenal, macam mana boleh kenal?
Kami berkenalan di sebuah majlis perkahwinan rakan. Dan saya mengenali suami selama empat tahun melalui seorang rakan yang kini sudahpun menjadi adik ipar saya.
Berapa lama decide untuk langsungkan perkahwinan?
Lebih kurang setahun berkenalan, kami putuskan untuk bertunang dan kami bertunang selama dua tahun.
Khabarnya sudah 3 kali majlis ditunda, boleh cerita sedikit dengan lebih lanjut?
Tarikh sebenar majlis perkahwinan pihak perempuan sepatutnya diadakan pada 31 Ogos lalu dan ditunda kepada 14 September lalu. Dan antara sebab mengapa majlis pernikahan kami ditunda kerana Aliff diserang strok ketiga.

Bagaimana pula Aliff jatuh sakit hingga lumpuh separuh anggota badan?
Kali pertama Aliff diserang strok pada bulan puasa yang lalu, ketika itu 4 Ramadan. Kaki kanannya tiba-tiba berasa kebas dan langsung tidak boleh bergerak. Serangan strok kali kedua pula berlaku dua minggu selepas serangan strok pertama.
Ketika itu dia berada di hospital. Manakala kali ketiga Aliff diserang strok pada 16 Ogos. Waktu itu dia berada di surau menunaikan solat Maghrib bersama ayahnya. Dan menurut doktor, punca Aliff diserang strok kerana masalah young hypertension.
Apa yang membuatkan Hazreen mahu teruskan perkahwinan ini?
Saya mencintai Aliff dengan sepenuh hati. Saya terima segala kekurangan dirinya. Dan selama empat tahun tempoh perkenalan, kami mengharungi pelbagai liku. Susah dan senang kami ada bersama.
Saya yakin dan berharap juga berdoa kepada Allah SWT semoga Aliff akan kembali pulih dan sihat seperti dahulu. Saya akan terus dan takkan berhenti membantu Aliff supaya dia pulih seperti sedia kala.

Istimewanya lelaki bernama Aliff Saidi pada mata Hazreen Affiza?
Dia seorang lelaki yang kaya dengan sifat penyayang, tabah, ceria, peramah dan selalu menggembirakan saya.
Perasaan Hazreen pertama kali dapat tahu suami kena strok?
Sudah pasti saya sedih dan serasa luluh hati waktu kali pertama menerima perkhabaran bahawa Aliff diserang strok.
Apa yang dikatakan suami waktu itu? Adakah dia lemah semangat atau mahu terus bersama?
Seperkara mengenai Aliff, dia seorang yang kuat semangat. Semangat dan kesungguhannya cukup kuat. Tidak mudah luntur dan dia masih mahu kami teruskan perhubungan ini.
Apa pula kata keluarga sekeliling?
Syukur Alhamdulillah, keluarga kami menerima ketentuan takdir ini dengan berlapang dada. Mereka menerima keadaan Aliff seadanya dan terus memberi sokongan serta dorongan kepada kami.

Bagaimana pula kalian lakukan semua persiapan dalam keadaan Aliff begitu?
Sebenarnya untuk persiapan kahwin telah kami lakukan lebih awal. Tetapi yalah, kami tidak jangka keadaan ini akan berlaku. Alhamdulillah, dengan kuasa dan izin Allah SWT, semuanya berjalan dengan lancar.
Perasaan Hazreen ketika menolak Aliff yang duduk di atas kerusi roda ketika majlis pernikahan kalian; pernah terbayang tak akan lalui pengalaman sebegini?
Sejujurnya memang tak pernah terlintas dalam fikiran perkara seperti ini akan berlaku. Saya reda dengan apa yang terjadi. Tipulah kalau saya katakan tidak sedih sama sekali.
Malah saya lebih sebak apabila melihat keluarga dan rakan-rakan memberi sokongan yang tak pernah putus terhadap Aliff. Dan secara tidak langsung ia memberi semangat kepada saya untuk meneruskan perkahwinan ini.

Di mana Hazreen dapat kekuatan untuk teruskan?
Saya dapat kekuatan dari semangat Aliff yang ingin terus sihat dan saya dapat lihat sendiri perkembangan kesihatan Aliff yang memberansangkan. Secara tidak langsung membuatkan saya lebih yakin untuk teruskan perkahwinan kami.
Keadaan terkini Aliff, apa yang membataskan pergerakannya? Lumpuh separuh anggota badan atau bagaimana?
Aliff masih boleh berjalan tetapi pergerakannya masih tidak stabil. Kurang imbangan, umpamanya dia tidak boleh imbang badan sendiri. Strok pertama dan kedua hanya kaki yang tidak boleh bergerak.
Anggota badan yang lain masih okey. Sekarang Aliff masih dalam pemantauan doktor. Dia masih lagi bergantung kepada rawatan fisiologi dan ubat-ubatan. Insya-Allah Aliff akan sihat seperti biasa.

Kata-kata Hazreen buat suami?
Saya selalu berdoa kepada Allah SWT semoga Aliff cepat sembuh, diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan sentiasa dilindungi-Nya. Insya-Allah saya akan terus beri semangat kepada Aliff supaya dia pulih seperti sediakala.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live